Selepas menamatkan edisi 2017 dengan jayanya, kempen #YouCanDuit anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka tirai edisi 2018 di Kuala Lumpur.

Berlangsung di Istana Budaya, kempen kali ini turut dianjurkan dengan kerjasama Karnival CEO DESA anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Seperti edisi sebelumnya, misi dan visi utama kempen ini adalah untuk merakyatkan ekonomi digital dalam kalangan rakyat di Malaysia menerusi dua platform utama iaitu e-Rezeki dan e-Usahawan.

Selain itu, untuk tahun ini MDEC juga akan memberi fokus kepada dua insiatif lain di bawah e-Rezeki dan e-Usahawan menerusi platform tour buddy dan blee.

Tahun 2017 menyaksikan 220,000 peserta berjaya dilatih di bawah dua platform utama ini manakala jumlah yang lebih besar disasarkan untuk tahun ini.

Naib Presiden Jabatan Hal Ehwal Korporat MDEC, Razaleigh Zainal berkata, pihaknya berhasrat untuk terus mendekati lebih ramai rakyat Malaysia bagi menggalakkan mereka menyertai program tersebut.

“Harapan kita untuk tahun ini juga, kita mahu memampankan lagi mereka yang akan kita latih, kita juga sasarkan lebih dari sasaran tahun lepas,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Kempen #YouCanDuit di Kuala Lumpur turut diselitkan elemen persembahan menarik seperti persembahan teater muzikal YouCanDuit arahan Erma Fatima yang bakal dipersembahkan esok dan turut membariskan selebriti ternama negara.

“Ini merupakan percubaan pertama kita dengan menggunakan pendekatan seni dan hiburan, saya percaya masyarakat lebih suka kepada hiburan. Oleh itu saya guna pendekatan belajar sambil berhibur," katanya.

Kempen #YouCanDuit di Kuala Lumpur bakal dirasmikan esok oleh Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.