Media arus perdana antarabangsa dilihat tidak mendedahkan kebenaran kepada masyarakat termasuk ketidakadilan yang dilakukan pihak tertentu atau kuasa tertinggi sesebuah negara, kata Presiden International Movement of Just World, Dr Chandra Muzaffar.

Beliau mendakwa tindak-tanduk media arus perdana antarabangsa yang menyembunyikan dasar atau aktiviti pihak tersebut boleh memudaratkan manusia.

"Pada pendapat saya, apa yang cuba disembunyikan ini telah membawa malapetaka kepada berjuta-juta manusia yang terbunuh akibat daripada tindakan pihak-pihak tertentu iaitu mereka yang menguasai dunia.

"Media arus perdana yang saya maksudkan seperti CNN, New York Times dan sebagainya... adakalanya mereka (media) dengan sengaja menyembunyikan kebenaran daripada khalayak ramai," katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia ke-4 (WCIT 2017) di sini, hari ini.

Terdahulu, Chandra yang juga pengerusi Yayasan 1Malaysia menjadi seorang daripada pembentang kertas kerja bertajuk 'Power, Politics and The Media' (Kuasa, Politik dan Media).

Beliau berkata walaupun tanpa pendedahan oleh media arus perdana, rakyat tetap dapat mengetahui sebarang isu termasuk di peringkat antarabangsa melalui saluran media baharu.Mengenai WCIT 2017, Chandra berkata ia dapat mempertingkatkan kesedaran masyarakat dalam mencapai matlamat paling murni iaitu keamanan di peringkat global selain membincangkan isu-isu seperti media, konflik dan sebagainya.

WCIT 2017 bertemakan 'Keamanan Global' diadakan selama dua hari bermula semalam anjuran Universiti Sultan Azlan Shah dihadiri perserta daripada lebih 15 negara.-- BERNAMA