Media memain peranan penting untuk menyebarkan sebarang berita dan maklumat penting dengan tepat demi menjamin kestabilan dan keselamatan negara.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, tanggungjawab untuk melapor dan mendedahkan kebenaran serta menolak setiap maklumat yang tidak benar, perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab oleh pengamal media arus perdana.

"Ini kerana sesuatu maklumat yang tidak benar boleh menjadi tular dengan pantas dan turut ditokok tambah tanpa mengambil kira kesannya. Saya harap pengamal media memain peranan untuk mendidik dan menyekat penyalahgunaan media sosial demi memastikan negara kita kekal aman, makmur dan stabil," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian pada Malam Anugerah Media Pahang DRB-Hicom di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat negeri Pahang di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sains Teknologi Hijau Komunikasi dan Multimedia Datuk Fakharuddin Mohd Arif.

Selain itu, baginda bertitah pengamal media juga memikul peranan di dalam membina semangat patriotisme dan nasionalisme negara.

"Saya mahu pengamal media terus menyemai serta membina perpaduan kaum dan agama. Jangan takut melaporkan sebarang kepincangan dalam negara kita, tanpa takut dan berat sebelah. Bersifat objektif dan tidak berpihak kepada mana-mana fahaman politik ataupun kumpulan tertentu," katanya.

Sementara itu dua jurufoto Bernama turut memenangi anugerah pada majlis itu.

Mohd Faizol Ab Aziz meraih kemenangan berganda dengan memenangi tempat kedua dan ketiga bagi kategori Fotografi Berita Terbaik, manakala jurufoto sambilan Zulfaidi Muhammad memenangi tempat kedua bagi kategori Fotografi Berita Sukan.

-- BERNAMA