Media berkumpul di luar kedutaan Korea Utara semakin kurang

Media berkumpul di luar kedutaan Korea Utara semakin kurang
Dua orang pengamal media antarabangsa merakamkan gambar di hadapan Kedutaan Korea Utara kerana terlihat kelibat orang di dalam rumah tersebut ketika tinjauan untuk mendapatkan perkembangan terkini kes pembunuhan Kim Jong-nam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Keghairahan wartawan tempatan dan asing menunggu di luar Kedutaan Korea Utara bagi mengawasi kelibat pegawai kedutaan untuk komen berhubung pembunuhan Kim Jong-nam semakin reda.

Ini berikutan tiada seorangpun pegawai termasuk jurucakap kedutaan Ri Tong-il telah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau bercakap kepada media sejak 18 Februari.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Feb lepas ketika menunggu penerbangan ke Macau apabila dihampiri dua wanita yang menyapu mukanya dengan bahan kimia yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
Kedua-dua wanita itu, seorang warga Vietnam dan seorang lagi rakyat Indonesia telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh.

Wartawan agensi berita Korea Selatan Yonhap, Harrison Choi Hyun-seok berkata bagi agensi itu, kes tersebut dianggap telah selesai dan mereka akan pulang tidak lama lagi.

'Kami berada di sini sejak hari pertama, malah cuba mengesan keluarga Jong-nam di Macau. Kita tidak tahu bila mayatnya akan dituntut oleh keluarga dan kemungkinan, mereka langsung tidak akan menuntutnya," kata beliau.

Sebelum itu, wartawan antarabangsa dan tempatan akan berkumpul di luar kedutaan sehingga 11 malam dan berada di sana seawal jam 8 pagi tetapi sekarang, tidak sampai 10 orang wartawan menunggu setiap hari dan kesemua mereka akan meninggalkan perkarangan kedutaan kira-kira 7 malam.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang memburu beberapa lagi individu untuk membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam termasuk tiga warga Korea Utara yang dipercayai bersembunyi di kedutaan tersebut. -- Bernama