Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua pengamal media agar sentiasa peka dengan perkembangan teknologi untuk membolehkan mereka bersaing dengan media alternatif.

Media alternatif seperti laman sosial, kini kerap kali menjadi rujukan masyarakat, khususnya generasi muda.

Apa yang membimbangkan, kata Najib, adalah penyebaran maklumat yang tidak tepat malah tidak kurang juga maklumat palsu atau 'fake news'.

"Contohnya, kisah pertemuan saya dan Trump. Apabila saya cakap saya ke sana untuk kukuhkan ekonomi Amerika Syarikat, bukan bermakna Malaysia jadi penyumbang ekonomi negara itu tanpa kita peroleh apa-apa.

"Sebaliknya, kita ke sana atas jemputan sebagai sebuah negara yang berjaya dan punya kredibiliti tersendiri," kata Najib.

Tambah beliau, situasi berita yang diputar belit di laman sosial, khususnya milik pembangkang, menyukarkan usaha kerajaan menaikkan nama negara di mata masyarakat dunia.

"MAS memilih Boeing dan kita nak beli pesawat Boeing ini kerana berhasrat untuk menjadikan MAS sebagai syarikat penerbangan peringkat antarabangsa," katanya menjelaskan isu yang menjadi perdebatan di laman sosial.

Justeru katanya, peranan wartawan sangat diperlukan dalam situasi zaman kini yang serba mencabar.

Perdana Menteri juga turut memuji peranan wartawan wanita yang disifatkan semakin menampakkan prestasi memberangsangkan.

Beliau berkata demikian di Majlis Minum Petang Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor anjuran Persatuan Wartawan Wanita (PERTAMA) di ibu negara petang tadi.