Dalam era serba pantas abad ini, media sosial antara platform dicari untuk mengetahui sebarang berita dan maklumat.

Pada lapis lain, kebergantungan hidup penggunanya kepada platform ini menjadikan media sosial 'dirampas' untuk sesuatu yang buruk, sebagai contoh, medium untuk menyebarkan keganasan.

Menurut Pakar Strategik Dan Anti Keganasan, Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, dunia kini tidak memerlukan senjata konvensional tetapi hanya menggunakan diri sendiri dan media sosial untuk mewujudkan keganasan.

"Cukup dengan hanya mempunyai dua elemen iaitu yang pertama ialah diri sendiri manakala yang kedua ialah media sosial. Apabila mereka dapat memanipulasi media sosial, mereka akan dapat mempengaruhi minda dan ia akan menjadi satu senjata yang ampuh untuk melakukan aktiviti berkaitan terorisme," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohd Mizan juga berkata, kumpulan yang paling ampuh untuk dipengaruhi adalah golongan remaja.

Dari kajiannya mendapati 80 peratus golongan remaja terutamanya daripada institut pengajian tinggi mudah terlibat dan dipengaruhi melalui media sosial.

Ketaksuban golongan ini terhadap sesetengah selebriti masa kini membuatkan mereka mudah terpengaruh hingga sanggup melakukan apa sahaja demi selebriti yang diminati.

Tambah beliau masalah ini tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja, bukan sahaja memberi bekerjasama dengan pihak polis dan perisikan tentera malah pihak pembekal talian mudah alih juga harus membantu dalam menangani isu keganasan di media sosial.

Antara langkah yang boleh diambil, adalah pihak berkuasa perlu mewujudkan akaun media sosial palsu untuk 'mengumpan' dan mempengaruhi golongan radikal ini untuk menyertainya seterusnya memudahkan usaha mengenal pasti mereka yang terlibat dalam menyebarkan keganasan melalui platform itu.