KEBEBASAN media dari segi undang-undang bukanlah perkara pokok, kerana harapan bagi golongan pengamal media adalah untuk mewakili suara masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron berkata, bagaimanapun ia bukanlah bermakna kebebasan media itu tidak penting malah ia seharusnya dinilai daripada aspek yang lebih meluas.

"Bagi saya kebebasan itu bukanlah soal pokoknya, tapi harapan bagi rakan-rakan wartawan seperti saya dan pengarang, benarkan dan hak upayakan kami untuk membantu mereka yang sepatutnya iaitu masyarakat.

"Ini bagi memastikan tidak ada seorang pun rakyat di Malaysia tertinggal dan nasibnya tidak dibela dan itulah kekuatan media yang sepatutnya.

"Media tidak perlu berubah walau kerajaan berubah dan apa pun ekosistemnya, matlamat suci itu tidak akan lari.

"Kebebasan atau tidak, itu bukanlah perkara pertama yang saya fikirkan ketika saya bangun di pagi hari, kebebasan juga bukan perkara pertama yang saya fikirkan ketika saya mula berfikir untuk menjadi seorang wartawan.

"Untuk apa sebenarnya kita mahu menjadi wartawan dan untuk apa sebenarnya wujud media ini. Saya tak boleh bercakap untuk wartawan lain dan media lain tapi saya bercakap dalam konteks diri sendiri."

BACA: Media berhak kritik, tegur pentadbiran kerajaan PH - Anwar

Kongsi ilmu dengan masyarakat

Jiwa yang ada di dalam wartawan dan pengarang di Astro AWANI itulah yang sebenarnya yang lebih kuat yang harus diteliti.

"Saya kerdil dan lahir di negeri yang sampai sekarang belum ada kerajaan, dan apa yang saya mahu tanyakan, apakah Pakatan Harapan tidak begitu menghiraukan Perlis sehingga menjadi terumbang ambing.

"Apakah hanya bilangan kami kecil bermakna kami tidak penting dan itulah jawapannya mengapa saya menjadi wartawan.

"Lahir dan membesar di Perlis memberitahu saya bahawa orang kerdil tidak diwakili. Jika anda populasinya hanya 265,000 berbanding 30 juta di manakah anda?

"Tetapi di dalam negara yang berdaulat dengan demokrasi, walaupun mungkin mereka tinggal di Sarawak dari suku minoriti, tapi mereka juga penting.

"Maka saya menjadi wartawan untuk membawa suara yang mungkin tidak boleh keluar, tidak dihargai, terpinggir bukan untuk meminta perhatian sepenuhnya, tapi untuk ditimbang tara.

"Tujuan saya menjadi wartawan sejak hari pertama bergelar wartawan adalah bagaimana kita boleh bantu rakyat dan apa ilmu yang kita boleh kongsi untuk rakyat memajukan diri mereka."

Dunia berubah, mesej media perlu platform teknologi

Bagaimanapun, itu tidak bermakna kebebasan media tidak penting, tapi bebas itu bukannya daripada aspek undang-undang sahaja.

"Kalau kita tidak ada sumber bagaimana kita boleh membuat liputan dan bagaimana kita boleh wujudkan satu perniagaan media yang wartawannya boleh dibayar dengan gaji yang setimpal.

"Bagi menjawab sejauh mana kebebasan media di bawah kerajaan Pakatan Harapan, saya rasa dalam era baharu ini, harapan rakyat itu mahukan satu Malaysia baharu yang lebih memberikan mereka ruang keupayaan untuk jadi yang terbaik termasuklah media.

"Kalau kita rumuskan hari ini, dunia telah berubah dan pendapat saya adalah mungkin kita terlalu banyak fokus kepada apa yang boleh atau tidak boleh.

"Menerusi Revolusi Perindustrian Keempat ini, semuanya telah berubah dan teknologi telah mendominasi.

"Mesej media juga memerlukan platform teknologi, jadi itu yang saya katakan, ia bagus kalau kita mahu buat reformasi undang-undang atau institusi berkaitan kebebasan media ini, tapi adakah ia akan menjawab persoalan yang ada.

"Ini bukan soal kita boleh jerit lebih lantang atau tidak, tapi soal kita ini berada di negara yang terbuka, teknologi pun terbuka dan bagaimana kita mahu maju ke depan kalau tangan masih diikat dan fikiran kita masih melihat perkara kecil bukannya besar.

"Jadi saya mahu lihat kebebasan itu daripada aspek yang lebih luas bukannya hanya mempertikaikan undang-undang kerana ia juga berkaitan teknologi, kualiti cerita, kualiti pendidikan bakal wartawan dan ini semua perlu dinilai bersama dengan kebebasan.

"Sebagai contoh, kalau saya buat rancangan di Astro AWANI, saya tidak akan bercakap seorang diri malah memerlukan pakar untuk mengupas topik-topik yang diketengahkan."

Dunia berdepan gelombang data

Di Malaysia pakar kajian, penyelidikan atau pembangunan majikannya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang laporkan diri kepada kerajaan.

"Jika pakar itu takut atau risau untuk tampil, bagaimana keadaannya. Tidakkah ilmu itu perlu dikongsi.

"Jika ini terus berlaku, maka halangan-halangan yang lain juga akan berterusan kerana media tidak pernah terpisah dengan elemen ekosistem masyarakat di negara ini.

"Seperti kita tahu, seluruh dunia kini berhadapan dengan gelombang, bukan tsunami Melayu, tapi gelombang data kerana ini adalah Revolusi Perindustrian keempat.

"Semuanya dilanda, jika kita tidak berubah maka kita tidak akan dapat membela dab membawa suara aspirasi rakyat.

"Saya boleh merungkai, mengkritik undang-undang yang ada tapi kebanyakannya yang berkaitan media percetakan mahupun multimedia lebih mensasar bahawa media itu perlu dikawal.

"Mengapa kita harus dibincangkan perkara lalu, mengapa tidak fokus kepada perspektif keselamatan, dan membebaskan jiwa dan minda rakyat.

"Itulah tanggungan wartawan yang ada di negara ini bagi memastikan setiap insan mendapat ilmu dan maklumat yang terkini untuk rakyat supaya berjaya mengharungi era dan tamadun ini."