Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menegaskan sekarang bukan masa sesuai untuk melaksanakan cuti bersalin sebulan untuk bapa dengan bayaran gaji penuh.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan menjelaskan langkah itu hanya akan menjejaskan kos operasi dan produktiviti syarikat.

"Hari bekerja di Malaysia masa ini kebanyakannya di sektor kerajaan dan swasta adalah lima hari seminggu. Jika tolak dengan cuti tahunan, sakit wanita, dan umum, maka purata hari bekerja hanya 220 hari sahaja setahun. Jadi kalau tolak lagi 20 hari maka purata kerja adalah kurang 200 hari setahun, ini akan menjejaskan kos operasi syarikat dan produktiviti syarikat.

"Kalau kita lihat kos yang akan timbul, di Malaysia pada masa ini kita ada setengah juta kelahiran, dan jika kita melihat kepada kos berkenaan dengan gaji purata kira-kira RM2,800 sebulan, jadi kos berkenaan akan menjadi kira-kira RM1.4 bilion kalau kita beri cuti bersalin untuk sebulan bergaji," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.

Justeru, MEF menegaskan polisi-polisi sedemikian tidak seharusnya diperkenalkan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

"Kebanyakan syarikat juga menghadapi krisis kewangan dan isu pengurangan perniagaan dan permintaan barangan. Kalau memang ada ura-ura untuk meningkatkan kos lagi terhadap majikan, saya rasa Malaysia tidak akan jadi pilihan para pelabur nanti.

Paling penting katanya majikan perlu diberi peluang untuk terus beroperasi agar kebanyakan syarikat akan dapat bertahan dengan situasi ekonomi pada masa sekarang.

"Jika ia dilaksanakan, ia adalah suatu tindakan yang sangat drastik kerana akan menyusahkan majikan," katanya lagi.

Ketika ini, cuti bersalin untuk bapa bagi sektor swasta adalah bergantung kepada sesebuah syarikat dan tidak terikat dengan mana-mana perundangan.

"Secara amalannya, majikan memberi dua hingga tiga hari untuk setiap kali bersalin. Namun, itu dihadkan kepada lima anak yang dilahirkan," katanya.

Beliau pada masa sama mahu satu kajian dibuat jika benar dakwaan bahawa meroyan atau pospartum psikosis yang dialami wanita selepas bersalin boleh dirawat jika suami sentiasa berada di sisi mereka.

"Kita harus membuat kajian terlebih dahulu mengenai perkara ini sama ada isteri-isteri yang meroyan ini adalah disebabkan suami tidak diberi cuti secukupnya semasa melahirkan anak itu," ujar Shamsuddin.

Pada Sabtu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar cuti bersalin untuk bapa diberikan selama sebulan kepada kakitangan kerajaan dan swasta dengan bayaran gaji penuh.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata ia berikutan cuti sedia ada yang diperuntukkan untuk pekerja disifatkan sebagai tidak mencukupi.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang berkaitan bagi memastikan cuti bersalin untuk bapa dengan bayaran gaji penuh dikuat kuasa dalam akta berkenaan.

Cadangan MTUC itu juga susulan kebanyakan kes melibatkan pospartum psikosis yang dihadapi ibu-ibu selepas bersalin sehingga ada yang bertindak mencederakan atau lebih dahsyat lagi membunuh bayi mereka.