Seorang mekanik yang juga orang kelainan upaya (OKU) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat dua kilogram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Lim Chong Fong menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohamed Kanathi Meerah Mydin, 42 tahun selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan pada akhir kes pembelaan petang tadi.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Kanathi yang mengalami kecacatan pada kaki kanan akibat kemalangan didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 2,000 gram di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gudwhara melalui Jalan S.P Chelliah kira-kira pukul 3.30 pagi, 16 April 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman mati.

Dalam penghakiman itu, Hakim berkata, mahkamah tidak mempercayai keterangan pembelaan iaitu tertuduh yang memaklumkan saksi yang dilepaskan adalah individu yang membawa dadah tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azrul, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Arif Shaharudin.

Terdahulu, Mohamed Kanathi yang mengenakan persalinan berwarna putih tidak menunjukkan sebarang reaksi sedih ketika hakim menjatuhkan hukuman.