Seorang mekanik parah selepas ditetak individu yang tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Paya Rawa, Besut pada Khamis.

Kejadian yang berlaku pada 11.30 pagi itu menyebabkan mangsa yang berusia 61 tahun cedera di kedua-dua lengan serta kaki kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Razmi Mohd Gunnos berkata, ketika kejadian, mangsa sedang membaiki motosikal di dalam bengkel sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

Katanya, salah seorang suspek yang berada di bahagian belakang motosikal meluru ke arah mangsa dan menetaknya dengan sebilah kelewang.




Kedua-dua suspek, yang memakai topi keledar dan menutup dengan kain, kemudian terus melarikan diri.

Razmi berkata, mangsa mendapat rawatan awal di Hospital Besut sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan bagi rawatan lanjut.

Tambahnya, kedua-dua suspek gagal dicam mangsa.

Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan.