Kerajaan Negeri Melaka mengarahkan semua premis perniagaan termasuk kedai beroperasi 24 jam di negeri ini untuk menutup perniagaan lebih awal bagi membantu mencegah penularan wabak COVID-19.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh berkata, arahan itu akan berkuatkuasa bermula hari ini sehingga tamat tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri telah memutuskan bahawa sepanjang tempoh kawalan ini, semua premis kedai makan termasuklah mereka yang menyediakan khidmat pandu lalu untuk menutup perniagaan bermula jam 7 malam sehingga 7 pagi.

“Arahan ini turut berkuatkuasa kepada kedai runcit serta kedai- kedai serbaneka yang menjalankan perniagaan 24 jam iaitu 7 Eleven dan KK Supermarket untuk menutup premis mereka pada tempoh berkenaan.

“Manakala bagi kedai serbaneka di stesen minyak, ia perlu ditutup pada jam 8 malam sebelum dibenarkan dibuka pada jam 6 pagi. Bagaimanapun, hanya perkhidmatan isian minyak dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen premis sedia ada,” katanya.

Selain itu, Salhah berkata, pasar awam juga diarahkan tutup seawal jam 2 petang sebelum dibenarkan dibuka jam 6 pagi.

“Bagi peniaga di pasar awam, mereka perlu mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi bilangan pengunjung dan jarak operasi.

“Untuk semua pasaraya di Melaka, ia juga harus ditutup bermula jam 7 malam. Manakala semua gerai penjaja termasuk pengendali makanan bergerak (food truck) yang diberi lesen perniagaan, mereka perlu menutup perniagaan seawal jam 6 petang sehingga jam 7 pagi dengan mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan oleh KKM,” katanya.

Tegas beliau, pelaksanaan ini akan dipantau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing dan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan peniaga terlibat patuh.