Sebanyak 16.79 juta pelancong melawat Melaka tahun lepas, satu jumlah kedatangan pelancong tertinggi direkodkan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata ini membuktikan Melaka menjadi satu daripada destinasi pelancongan utama negara ini dan kebanyakan pelancong datang dari China, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Hong Kong.

"Melaka mungkin kecil dari segi saiznya tetapi amat mengagumkan, yang mana ketamadunan dan kebudayaan yang berkurun usianya bertemu di sini, membentuk asas sebuah negara yang berkembang maju, progresif milik kita hari ini.

"Kami dapat menyaksikan pertumbuhan sektor pelancongan yang menarik 16.28 juta pelancong pada 2016, dan kami menyasarkan 17 juta pelancong untuk tahun ini," kata beliau dalam ucapannya bersempena majlis makan malam Seminar Bersama Kesembilan dan Sukan Perkhidmatan Awam untuk Pemimpin Sektor Awam Malaysia dan Singapura ke-40, 2018, di sini malam ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Perkhidmatan Awam Singapura. Leo Yip dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.