Kerajaan Negeri Melaka optimis bahawa masalah banjir kilat yang sering melanda negeri dapat diatasi dalam tempoh enam bulan lagi menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata langkah itu termasuk mendahulukan peruntukan RM10 juta bagi melaksanakan penambahbaikan di tiga pintu kawalan air empangan muara Sungai Melaka yang merupakan antara faktor utama berlaku banjir di negeri itu.

Beliau berkata permohonan peruntukan itu telah dibuat kepada kerajaaan persekutuan dan rancangan itu dilaksanakan selepas mengambil kira kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah setiap kali berlaku banjir kilat.

"Kebanyakan banjir di kawasan 'Upstream' ini berpunca daripada pembangunan yang dilaksanakan di Sungai Melaka yang mana Baraj kita tidak dapat berfungsi sepenuhnya sehingga (mengakibatkan) banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam di sini hari ini.

"Keutamaan kita adalah menyelesaikan isu baraj meskipun melibatkan peruntukan RM10 juta, namun kita akan mencari jalan bagi melaksanakan penambahbaikan memandangkan empangan itu hanya dapat mengeluarkan air kira-kira 30 peratus sahaja setakat ini," tambahnya.

Adly berkata pembaikan pintu kawalan air itu hanyalah sebahagian daripada usaha menangani isu banjir, yang mana projek Tebatan Banjir yang membabitkan kos RM270 juta masih dalam peringkat reka bentuk.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir yang agak tinggi turut didorong oleh faktor lokasi penempatan kediaman mereka di kawasan rendah selain pelaksanaan projek-projek pembangunan.

"Kita akan melakukan penilaian terhadap projek pembangunan bagi mengawal kejadian banjir kilat selain mengenal pasti kediaman di kawasan rendah untuk dipindahkan ke lokasi bersesuaian menerusi mekanisme Rumah Peduli," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat PPS itu, dengan diiringi Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Sehingga pukul 3.30 petang ini, lapan PPS banjir menempatkan 1,117 mangsa melibatkan 250 keluarga dibuka di Melaka berikutan hujan lebat berterusan dari awal pagi semalam, dan 343 orang daripada jumlah itu ditempatkan di PPS SK Belimbing Dalam.

-- BERNAMA