Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Othman Muhamad hari ini menyerahkan surat pembubaran DUN kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Haelmy Mohd Hanifah.

Majlis penyerahan surat pembubaran DUN Melaka ke-13 itu yang diadakan di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini pada 10 pagi ini disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Surat pembubaran DUN yang ditandatangani Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob itu diserahkan kepada SPR bagi membolehkan pilihan raya umum negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum Parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan enam Parlimen.

Pada pilihan raya umum lepas, BN membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 21 kerusi DUN, manakala DAP enam kerusi dan PAS satu kerusi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bagi memberi laluan kepada PRU14.

Kerajaan Negeri Melaka turut mengambil langkah sama dengan kerajaan Persekutuan membubarkan DUN Melaka hari ini mengikut peruntukan bawah Perkara 19(2) Perlembangaan Negeri Melaka.

Haelmy berkata selepas menerima surat pembubaran DUN berkenaan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas yang dijangka berlangsung pada minggu depan bagi membincangkan mengenai tarikh penamaan calon dan membuang undi.

Sementara itu, Idris berkata selepas pembubaran DUN, ketua menteri dan barisan exco kerajaan negeri akan meneruskan tugas serta tanggungjawab sebagai kerajaan sementara yang mentadbir urusan negeri.

“Kerajaan negeri akan meneruskan peranan dan rakan-rakan exco masih menjalankan tugas serta tanggungjawab portfolio masing-masing seperti biasa bawah kerajaan sementara hingga hari pengundian dan pengumuman kerajaan baharu,” katanya.

-- BERNAMA