Bilangan jemaah solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid-masjid besar di Melaka ditambah kepada 250 orang berbanding 40 jemaah sebelum ini, berkuat kuasa esok.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata bagi masjid atau surau berkapasiti 400 orang, hanya 160 jemaah dibenarkan bagi menunaikan solat Jumaat dan solat fardu, dengan syarat pelaksanaannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kebenaran ini meliputi semua masjid dan surau di negeri ini kecuali di kawasan diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jemaah diminta berwuduk dari rumah, membawa sejadah sendiri serta memakai pelitup mulut dan hidung ketika hadir ke masjid dan surau.

BACA: Alhamdulillah, dah boleh kembali berjemaah di masjid

"Beberapa surau akan diberikan kebenaran khas mendirikan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP mengikut garis panduan dan kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berdasarkan keputusan jawatankuasa fatwa negeri," katanya dalam kenyataan.

Menurut Sulaiman, Melaka juga membenarkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan termasuk majlis ilmu atau kuliah, majlis akad nikah dan ruang solat musafir, kecuali kenduri, gotong-royong dan seumpamanya yang masih dilarang.

Katanya keputusan ini adalah berdasarkan Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali keenam yang bersidang melalui video dan dipersetujui dalam Mesyuarat MAIM pada 9 Jun lepas.

Melaka mempunyai 212 buah masjid dan surau.

-- BERNAMA