Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memutuskan solat tarawih berjemaah di masjid dan surau tidak dibenarkan dan premis berkenaan hendaklah ditutup sepenuhnya selepas waktu isyak, kata Pengarahnya Datuk Md Azhan Samat.

Beliau berkata ketetapan lain dalam garis panduan sepanjang bulan Ramadan bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu ialah menangguhkan tadarus al-Quran, qiamullail, majlis berbuka puasa, khatam al-Quran, tahlil dan kenduri arwah, program memasak dan agihan bubur lambuk di masjid.

"Program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan, masjid dan surau juga hendaklah ditangguhkan dan surau ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh PKP.

"Pegawai yang bertugas untuk melaungkan azan Maghrib dan Isyak di masjid dan Surau Jumaat (surau yang melaksanakan solat Jumaat) hendaklah menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Md Azhan berkata sebarang aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP yang melibatkan perhimpunan atau kehadiran ramai orang di masjid atau di surau adalah dilarang melainkan mendapat kebenaran atau arahan daripada JAIM.

BACA: Kedah benarkan solat jemaah di masjid namun terhad kepada 3 orang

BACA: Normal Baharu: Umat Islam disaran biasakan Ramadan tanpa solat Tarawih di masjid

BACA: Raja Salman benarkan solat tarawih di dua masjid suci

BACA: Normal baharu: Negeri Sembilan tidak benarkan solat sunat tarawih di surau dan masjid

-- BERNAMA