Kerajaan negeri dan rakyat Melaka menolak cubaan sebarang gerakan yang cuba mengganggu ketenteraman dan keharmonian negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata rakyat negeri Melaka yang mempunyai pelbagai latar belakang hidup aman harmoni sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dan menolak keras gerakan yang mahu menganjurkan kegiatan seperti perhimpunan haram di negeri ini.

"Hari ini saya dapat sokongan daripada exco yang menegaskan Melaka sebuah negeri yang mana rakyatnya hidup dalam keadaan selamat aman makmur dan kita tidak mahu mana-mana pihak mengganggu keadaan ini.

"Kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga, jangan ada satu pun pihak yang cuba cetus ketidaktenteraman. Juga mengapa kami perlu beri publisiti kepada orang yang tidak sepatutnya," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Bahrom yang dikenali sebagai Ali Tinju merancang mengadakan perhimpunan di Melaka Raya pada Sabtu ini, bagaimanapun pada hari ini dilaporkan telah membatalkan perhimpunan itu.

Idris berkata tindakan Mohd Ali membatalkan perhimpunan itu adalah tindakan yang tepat dan merupakan langkah kepada "jalan yang benar".

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye dalam sidang media berasingan berkata orang ramai serta pelancong tidak perlu risau dan boleh menjalankan aktiviti mereka seperti biasa terutamanya di kawasan Melaka Raya dan Bandaraya Melaka.

Beliau berkata pihaknya akan tetap mengawal keselamatan orang ramai di kawasan itu dan mengambil langkah berjaga-jaga walaupun perhimpunan tersebut telah dibatal.

"Kita akan mengerahkan anggota kita membuat rondaan di semua kawasan bandar warisan dunia dan sekitar Melaka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan yang boleh menyebabkan masyarakat merasa bimbang dan tidak selamat.