MELAKA :Kerajaan negeri Melaka menubuhkan enam Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di klinik kesihatan seluruh negeri bagi membantu pesakit mendapatkan nasihat dan penilaian awal sebelum dimasukkan ke hospital.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, CAC itu ditubuhkan secara berperingkat sejak Sabtu lalu melibatkan ketiga-tiga daerah di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Beliau berkata, langkah itu diambil berdasarkan keperluan semasa memandangkan jumlah kes jangkitan baru dan perawatan di rumah adalah lebih tinggi berbanding kes sembuh harian.

Enam klinik kesihatan itu membabitkan satu di daerah Melaka Tengah, dua di Jasin dan tiga di Alor Gajah.

“Melaka telah mula mewujudkan CAC yang mana ia diwujudkan atau membantu peranan dimainkan oleh hospital sebelum ni.

“Sebelum ini pesakit COVID-19 semua dirujuk ke hospital, sekarang dirujuk ke CAC, yang telah empat tempat diwujudkan setakat hari ini.

“Di Batu Berendam, bermula 16 Januari, di Jasin, di Parit Gantung dan Kesang Tua mulai 17 Februari, di Alor Gajah, Durian Tunggal 18 Januari dan mulai esok dua lagi akan dibuka di Rembia dan Kuala Sg Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan premis perniagaan di sekitar Melaka Tengah pada petang Isnin.

Mengulas lanjut ujarnya, penubuhan pusat itu dijangka membantu membina polisi lengkap bagi pengurusan pesakit positif COVID-19 meliputi perawatan di rumah, dalam komuniti dan di hospital.

Dalam pada itu, beliau berkata sebuah pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) di Dewan Bistari Ayer Keroh akan dibuka dalam masa terdekat bagi menampung peningkatan kes positif COVID-19.

Katanya, jika sebelum ini pesakit COVID-19 terpaksa dihantar ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang Selangor selepas Hospital Melaka tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit.

Bagaimanapun terdapat rungutan daripada beberapa pihak dan Melaka bersedia membuka PKRC bagi memudahkan semua pihak termasuk petugas kesihatan dengan kapasiti kira-kira 250 katil.