Malaysia berpandangan supaya komuniti dunia memainkan peranan sepenuhnya serta kolektif bagi melindungi pelarian.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kebergantungan terhadap kerajaan sesebuah negara sahaja adalah tidak memadai dalam melindungi dan menjaga kebajikan pelarian.

“Malaysia percaya bahawa pendekatan menyeluruh amat penting dalam memastikan kebajikan pelarian, terutama mereka yang telah berlarutan sekian lama terbela.

“Secara umumnya, Kerajaan mempunyai peranan utama, namun secara spesifiknya, kerajaan tidak mampu berfungsi bersendirian.

“Malaysia sedar bahawa perlindungan pelarian dan kesejahteraan mereka memerlukan pelbagai pendekatan termasuk elemen penting seperti penyertaan aktif masyarakat sivil dan sektor swasta,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Tertinggi Persefahaman Global berkenaan Pelarian (GCR) di Bangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini malam tadi.

Tambah beliau, dasar dan langkah di peringkat global mesti memenuhi keperluan semua pihak serta diformulasi sekaligus dilaksana dengan penyertaan yang berkesan melibatkan pelbagai pihak.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian untuk terus melindungi pelarian meliputi beberapa aspek seperti akses rawatan kesihatan dan pendidikan.

Mengikut rekod, sehingga 31 Ogos lalu, terdapat kira-kira 161, 146 pelarian termasuk individu yang mencari suaka daripada 59 negara berada di Malaysia.

Sementara itu, pada Mesyuarat Tertinggi Pleno berkenaan Keamanan Global Pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela, Saifuddin turut memberi penghargaan kepada legasi pejuang anti-apartheid itu.

Beliau berkata, Malaysia dan dunia memperingati mendiang Mandela atas pengorbanan beliau dalam memperjuang hak kebebasan kepada rakyatnya sekaligus melakar keamanan dunia.

“Ketika kali pertama Mandela melawat Malaysia pada tahun 1990, beliau amat teruja untuk mengetahui pengalaman kami (Malaysia) dalam membangunkan negara.

“Negara kami baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana ia seperti sejarah pilihan raya Afrika Selatan pada 1994, di mana kerajaan baharu diberi kuasa atas suara rakyat,” ujar Saifuddin.