Memakmurkan masjid dan umat Islam

Memakmurkan masjid dan umat Islam
Masjid harus diperkembangkan peranan dan fungsinya supaya dapat memanfaatkan ummah dengan lebih bermakna. - Gambar fail BERNAMA
BARU-BARU ini, satu pameran lukisan yang bertema Inspirasi-Imaginasi-Interpretasi: Masjid-Masjid Di Malaysia telah dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Muzium Kesenian Islam Malaysia. Pameran ini memperagakan enam puluh empat (64) lukisan hasil karya dua puluh satu (21) pelukis profesional dan amatur tempatan.  Yang menarik perhatian galeri dan muzium, kolektor dan peminat seni lukis ialah interpretasi bentuk masjid-masjid terpilih menerusi kaca mata pelukis dan medium seni lukis yang berlainan – suatu pendokumentasian warisan Islam negara yang unik dan berharga.

Salah satu daripada cadangan yang dimajukan dalam ucapan Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul yang merupakan penganjur pameran tersebut ialah, bahawa masjid harus diperkembangkan peranan dan fungsinya supaya dapat memanfaatkan ummah dengan lebih bermakna, selain memainkan peranan utama sebagai tempat ibadah kaum muslimin.      

Di bawah kepimpinan Sultan, Negeri Selangor Darul Ehsan dialu-alukan untuk menjadi contoh dalam usaha membuka ruang masjid supaya ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang mendorong ummah mempraktikkan pengajaran agama Islam dengan lebih giat lagi. Aktiviti yang dicadangkan termasuk pendidikan dan penyebaran ilmu kepada komuniti pelbagai agama.

Usaha mempertingkatkan peranan multi fungsi masjid bakal menjadikannya institusi yang memaju dan memakmurkan peradaban Islam menerusi visi pragmatik serta cemerlang pentadbirnya. Ini mencerminkan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW menjadikan Masjid Nabawi bukan sahaja sebagai pusat ibadah malah sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran Negara Islam Madinah menerusi pelbagai aktiviti masyarakat yang bermakna.

Dengan ini, dalam era moden masjid akan dibangkitkan semula sebagai nadi pergerakan Islam, iaitu tempat beribadah, pusat kebajikan, gedung ilmu dan saluran komunikasi masyarakat antara satu sama lain di mana mereka boleh menjalin silaturrahim serta menuntut hak dan keadilan. Kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Deen atau cara hidup benar-benar diamalkan dengan peranan dan fungsi komprehensif institusi masjid yang memberi inspirasi kepada komuniti luar.
Memang ada masjid-masjid tertentu yang sudah mula memperluaskan kegiatan menerusi kariah masjid yang berwibawa dan berpandang jauh. Walaubagaimana pun keluhan yang kerap didengar ialah AJK masjid tidak mampu melaksanakan aktiviti selain daripada yang ditetapkan dalam kaedah-kaedah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah. Tugas-tugas ini termasuk menganjur kegiatan keagamaan Islam dan majlis sambutan hari-hari kebesaran Islam; memperbaiki dan memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam serta taraf hidup dan ekonomi mereka. 

Kekurangan bilangan AJK masjid dan tenaga kariah tidak harus dijadikan alasan untuk menghadkan peranan dan fungsi masjid sedangkan ramai daripada mereka mempunyai ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk dikongsi bersama. Tidak semestinya imam masjid dan pegawai yang dilantik oleh Majlis Agama Negeri sahaja yang boleh menyumbang kepada perkembangan masjid. Tubuhkan barisan-barisan tertentu misalnya golongan pesara, kaum hawa dan belia.

Imam dengan kerjasama AJK Masjid yang terdiri daripada kariah yang berkelayakan boleh memainkan peranan penting untuk membangunkan masjid mereka dengan suntikan nafas baru. Jawatankuasa-jawatankuasa kecil boleh dibentuk untuk menangani tugas tertentu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri yang berpayung di bawah naungan Raja mereka sebagai Ketua Agama Islam.

Antara kegiatan yang akan memanfaatkan kariah dan merpertingkatkan keyakinan mereka terhadap pengurusan masjid ialah:

1. Siri seminar dan bengkel tentang struktur pentadbiran, tadbir urus, tugas dan tanggungjawab, peraturan dan disiplin, integriti individu dan jawatankuasa dlll
2. Siri bengkel dan diskusi pendidikan untuk kumpulan sasaran tertentu termasuk guru, ibubapa dan pelajar
3. Siri syarahan dan bengkel tentang aspek-aspek keibubapaan dan kemakmuran keluarga
4. Kursus khas untuk aspek-aspek pelajaran yang penting seperti peguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain
5. Siri bengkel ekonomi dan keusahawanan untuk mempertingkatkan daya kewangan kariah masjid 
6. Menyediakan ruang-ruang tertentu di persekitaran masjid untuk perpustakaan, pembacaan, bengkel lukisan dan kraftangan dlll

Dengan usaha memperkembangkan masjid dari sudut fizikal, ibadah dan kerohanian kariahnya serta menjadikannya pusat kegiatan dan pengembangan intelektual masyarakat, institusi masjid negara menjadi lebih relevan bagi masyarakat moden yang sentiasa mencari wadah dan ilham baharu untuk mencapai kecemerlangan bukan saja bagi diri sendiri dan keluarga, malah untuk peradaban Islam yang mereka   banggakan.

Dengan visi pemimpin agama Islam yang luas ini terbina masjid-masjid yang menjadi pilihan utama umat Islam, termasuk golongan muda, yang mengunjungi masjid untuk beribadah dengan pengertian terhadap pengajaran Islam yang tulen menerusi bukan sahaja solat dan ritual-ritual Islam yang ditetapkan, tetapi juga melalui pengembangan intelektual  dan kefahaman yang mengekal.

Selain rupa bentuk masjid-masjid Malaysia yang indah yang dibina dengan sumber kewangan yang mewah, lebih bermakna jika inspirasi, imaginasi dan interpretasi pada tahap intelektual yang tinggi digunakan supaya institusi masjid negara benar-benar melambangkan keagungan dan kemakmuran agama Islam serta umatnya.



* Datuk Halimah Mohd Said merupakan Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




Tag: masjid, imam, umat Islam, ummah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.