Keluar memancing, berkumpul minum arak bersama rakan di tepi jalan adalah antara yang dilakukan individu ketika ditahan polis kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tempoh 11 hari perintah itu dikuatkuasakan.

Ada juga antara mereka yang ditahan bertindak kasar dengan memaki anggota polis di sekatan jalan raya, berkumpul di tepi jalan, melepak di hadapan rumah dalam jumlah yang ramai serta memberi alasan keluar untuk meminta rokok daripada rakan.

Individu yang ditahan kerana memancing ialah seorang remaja berusia 13 tahun di Johor bersama empat lagi lelaki.

Kesemua mereka ditahan ketika sedang leka memancing di atas jambatan Sungai Hutan Lesong, Kampung Teluk Sedili di Kota Tinggi semalam, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Ahsmon Bajah.

Di Negeri Sembilan tiga individu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan ketika berkumpul sambil minum minuman keras di tepi jalan berhampiran kebun sawit di Kampung Taman Jaya, Bahau dekat sini semalam, kata Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Mohd Khairiel Mohd Arif.

Lima remaja lelaki berusia 18 tahun pula ditahan di Kedah kerana berkumpul di tepi jalan di Sik.

Rata-rata yang ditahan pihak berkuasa di beberapa negeri, antaranya Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan didapati melepak dan dengan sengaja berkumpul di hadapan rumah serta keluar rumah tanpa alasan munasabah.

-- BERNAMA