Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor Rodziah Ismail berkata kerajaan Selangor mengambil iktibar daripada ketidakcekapan menguruskan pembelian dua buah lukisan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Katanya, lukisan tersebut dibeli oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) ketika majlis meraikan Samad sebagai karyawan tamu negeri Selangor.

"Urusan pembayaran dua buah lukisan yang bernilai RM16,000 itu diuruskan oleh PADAT yang terletak di bawah YB Ahmad Yunus yang juga pengerusi jawatankuasa tetap PADAT.

"Ketika mesyuarat exco hari Rabu lepas, YB Yunus sudah mengambil tanggungjawab dengan mengakui duit bayaran lukisan kepada Pak Samad belum dijelaskan.

"Beliau memaklumkan bahawa akan menyelesaikan perkara berkenaan secepat mungkin," katanya pada sidang media yang diadakan di pejabatnya hari ini.

Rodziah berkata, majlis meraikan Karyawan Tamu itu diadakan ketika beliau memegang portfolio kebudayaan dan turut menjelaskan geran sebanyak RM10,000 sudah diberikan kepada Samad.

Beliau juga menafikan isu tersebut dibangkitkan sebagai usaha pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan cubaannya bertanding jawatan Ketua Wanita PKR.

"Tapi saya melihat ia sebagai satu keluhan terhadap pentadbiran kerajaan negeri supaya dipercekapkan lagi," katanya.

Semalam laman web Malaysian Insider melaporkan, Samad menjelaskan pihak Jabatan Muzium Selangor sudah menghubungi beliau untuk mendapatkan nombor akaun bagi menjelaskan bayaran dua buah lukisan tersebut.

Isu mengenai bayaran dua buah lukisan Samad itu timbul ketika pelancaran novel Sungai Mengalir Lesu di ibu negara Selasa lepas.