Pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu A Aziz mencadangkan supaya Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dipengerusikan oleh salah seorang sultan hasil lantikan Majlis Raja-Raja Melayu.

Ujar beliau, ia bagi memastikan institusi Islam di negara ini terus dimartabat selain memastikan Islam sebagai agama rasmi Malaysia di manifestasi sepenuhnya.

"Pada saya, untuk kekuatan institusi Islam ini, saya amat bersetuju sekiranya MKI ini dipengerusikan oleh salah seorang Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

"Kemudian akan dianggotai oleh semua negeri dan juga mendapat partisipasi yang sepenuhnya daripada semua negeri bagi memanifestasikan Islam sebagai agama negara kita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Beliau memberi cadangan berkenaan susulan kegusaran segelintir masyarakat terutama yang beragama Islam selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

Ketika ini, MKI terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang mana keputusan MKI akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diluluskan.

Beliau pada masa sama mahu bukan sahaja rakyat malah Ahli Parlimen di negara ini untuk bersama-sama memastikan bukan sahaja kedaulatan Islam, malah semua peruntukan perlembagaan di negara ini.

"Walau apa pun, peranan Peguam Negara ini sangat-sangat besar kerana beliau juga boleh menjadi satu pihak berkuasa dalam draf undang-undang.

"Oleh itu, kita perlukan juga perhatian bukan sahaja rakyat tetapi juga Ahli Parlimen yang dipilih untuk memastikan kedaulatan peruntukan perlembagaan bukan sahaja Islam, tetapi kedaulatan semua peruntukan perlembagaan itu perlu dihomarti.

"Dari segi pentadbiran Islam, ini adalah kuasa yang sangat jelas di bawah budi bicara Raja-Raja Melayu. Ia tidak boleh dicampuri urusan atau boleh ditelunjukkan oleh mana-mana pihak," tegasnya.

Beliau percaya, walaupun Peguam Negara bukan beragama Islam, Tommy sepatutnya menghormati kedudukan Islam selain ia menjadi sebahagian janji Kerajaan Pakatan Harapan untuk sentiasa mentadbir kerajaan menerusi maqasid syariah.