Membugar Patriotisme Belia

Membugar Patriotisme Belia
Selamat Hari Lahir Majlis Belia Malaysia yang ke 71 tahun pada 23 Julai. -Gambar fail
SELAMAT Hari Lahir Majlis Belia Malaysia yang ke 71 tahun pada 23 Julai.

Satu daripada nilai-nilai yang telah menolong negara maju dahulu tetapi sudah dianggap usang sekarang ialah patriotisme. Di waktu negara-negara barat sedang membangun dengan pesat dahulu, mereka memuja patriotisme.

Anak-anak muda mereka dipupuk dengan semangat patriotisme sehingga mereka rela mengorbankan harta dan nyawa untuk negara mereka. Mereka bekerja kuat dan mereka sanggup dihantar ke tanah jajahan yang jauh dari tanahair mereka untuk mempertahankan bendera negara.

Ramai daripada mereka ini terbunuh dalam peperangan atau kerana penyakit. Kubur mereka terdapat di mana sahaja. Kubur mereka menjadi bukti kegigihan semangat patriotisme mereka.

Zaman beredar dan sekarang ini mereka kecewa kerana kehilangan empayar mereka. Patriotisme sudah tidak diperlukan lagi dan mereka memburuk-buruk dan mempermainkan semangat ini dan ramailah pula daripada kita turut menerima nilai mereka ini.

Kita harus memikir sendiri mengenai patriotisme ini. Negara kita sedang membangun. Kita tidak berhajat mendirikan empayar tetapi kita mahu pencapaian yang tinggi dalam bidangbidang tertentu. Untuk ini kita tidak boleh didorong semata-mata oleh materialisme.

Satu semangat kekitaan yang kuat mesti ada pada kita. Satu semangat kebangsaan yang kukuh mesti mempengaruhi kita. Kita harus didorong oleh patriotisme, oleh kebanggaan dengan bangsa kita. Tiap sesuatu yang kita buat hendaklah jangan semata-mata kerana diri sendiri tetapi juga kerana bangsa dan negara.

Bagi yangbetul-betul patriotik jika kepentingan diri bertentangan dengan kepentingan bangsa dan negara, kepentingan diri mengambil tempat kedua. Yang utama ialah bangsa dan negara.

Kita tidak mahu patriotisme secara buta-tuli. Kita tidak menerima maxim, "My country, may it always be right, but my country right or wrong." Patriotisme yang kita mahu ialah patriotisme yang boleh dipertahankan.

Patriotisme kita bukan untuk menceroboh orang lain tetapi untuk kebaikan kita. Di sini kita menghadapi masalah kerana jika seseorang individu cuba menilai patriotisme sendiri, ia mungkin salah. Justeru itu adalah lebih baik jika kita menerima penilaian yang diakui ramai.

Dengan itu semangat patriotik kita tidak akan menyebabkan kita berpuak-puak yang bermusuh antara satu dengan yang lain. Berpuakpuak dan bermusuh antara kita sesama kita tetap akan menghancurkan semangat patriotisme.

Inilah yang berlaku apabila komunis membuat tafsiran mereka sendiri dan menganggap orang lain tidak cintakan negara dan mereka melancarkan peperangan terhadap puak yang tidak menyertai mereka.

Para belia harus memupuk semangat setia dan sayang kepada bangsa dan negara dan patriotisme ini hendaklah menjamin kita tidak membuat apa-apa yang merugikan bangsa dan negara.

Sebaliknya sebarang tindakan yang kita ambil mestilah membawa manfaat kepada bangsa dan negara.

Satu perkara yang menekan sekarang ialah pengangguran di kalangan belia. Untuk mengatasi masalah ini kita perlu meningkatkan proses industrialisasi kerana hanya kilang kilang pembuatan sahaja yang boleh menyediakan peluang-peluang kerja dengan banyak.

Kilang pembuatan memerlukan pelaburan yang banyak dan teknologi yang moden. Tidak ramai daripada para pelabur dalam negeri yang memiliki modal dan teknologi untuk mengadakan kilang-kilang besar dan moden.

Oleh itu, pelaburan asing amatlah penting untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan. Untuk menarik pelaburan asing Kerajaan telah menyediakan banyak insentif. Tetapi insentif yang terbesar sekali ialah kestabilan negara dan kesanggupan rakyat Malaysia untuk bekerja kuat dan menjayakan perusahaan berkenaan.

Sebarang kegiatan yang memberi gambaran bahawa Malaysia tidak stabil merupakan penghalang kepada usaha mengatasi masalah pengangguran. Menjadi harapan agar para belia sendiri dan lain-lain pihak tidak
membuat apa-apa yang boleh memburukkan imej negara sebagai tempat yang paling sesuai untuk pelaburan.

Perbuatan demikian akan menganiayakan belia yang masih menganggur walau apapun kelulusan mereka. Semuanya yang berlaku adalah takdir Tuhan. Tetapi nasib kita tidak akan berubahmelainkan kita sendiri mengubahkannya.

Jika kita belajar dan menguasai ilmu, nasib kita tidak akan sama dengan nasib kita jika kita tidak belajar dan tidak memiliki ilmu. Demikian juga jika kita tidak berusaha, kita malas, kita tidak jujur - nasib kita tidak akan sama dengan nasib kita jika kita berusaha, kita rajin dan kita jujur. Walaupunakhirnya Tuhan yang menentukan segala-galanya, ini tidak bermakna bahawa kita sendiri tidak boleh mempengaruhi apa yang berlaku kepada kita.

Apa yang akan jadi kepada kita apabila kita tua banyak bergantung kepada apa yang kita buat semasa kita muda. Zaman muda tidaklah lama jangka masanya. Kemudian kita akan beralih ke zaman tua.

Oleh yang demikian rebutlah lima kesempatan sebelum kesempitan, iaitu: sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.

Saya yakin belia berilmu akan menjayakan negara. Marilah kita semua berusaha sedaya upaya memperjuang dan mempertahankan masa depan bangsa, agama dan negara kita.

Selamat Hari Lahir Ke-71 buat Majlis Belia Malaysia.

Belia Bertindak Untuk Kebenaran dan Keadilan

Menggerak Belia!


*Mohammad Rizan Hassan adalah tokoh Belia Negara 2011/Tokoh Belia ASEAN 2011

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Tag: belia, Majlis Belia Malaysia, patriotisme, rakyat Malaysia, Malaysia, pelaburan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.