Belum ada sebarang intipati diterima setakat ini berhubung sidang media pihak Tan Sri Musa Aman meskipun seteru politiknya sudah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebentar tadi.

Menurut sumber, sidang media yang akan diadakan di kediaman Musa sebentar lagi ini akan menyentuh mengenai senario semasa pergolakan politik di Sabah.

Setakat ini, kira-kira 15 pengamal media telah berkumpul di dalam bilik sidang akhbar untuk menanti perkhabaran terkini.

Difahamkan, sekitar pukul 10 pagi tadi, sekumpulan individu dipercayai peguam daripada pihak Musa telah mengadap ke Istana dengan difahamkan atas urusan rasmi.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat sahih diterima berhubung perkara itu.

Musa pada Rabu mendakwa telah memiliki majoriti sebanyak 33 kerusi ADUN yang menyaksikan beliau mempunyai majoriti mudah bagi menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Astro AWANI akan terus melaporkan perkembangan mutakhir pergolakan politik di Sabah dari semasa ke semasa.

BACA: Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan