Mencapai keharmonian masyarakat

Mencapai keharmonian masyarakat
Dari sudut pendidikan pelajar, amat penting bahawa ibubapa dan guru saling berkerjasama bagi meyakinkan dan mendorong mereka untuk memperluaskan lagi pengetahuan terhadap komuniti dan dunia luar. - Gambar hiasan
Harmoni- Mesra
Saling Hormati
Hidup Bahagia
Usaha Berkati

Harmoni – Mesra
Pegangan Kita
Saling Hormati
Bersatu Hati

HAR – MO – NI semangat bersama
HOR – MA - TI saling mencinta
Langkah ke depan
Penuh harapan

MES-RA menghulur tangan
Berganding bahu, rapat jalinan
CIN-TA rakan dan taulan
Mencungkil ilmu, tangga kejayaan

Harmoni-Mesra
Saling Hormati
Menjalin Cinta
Bahagia Di Hati

Harmoni-Mesra
Komuniti Bahagia
Sejahtera Negara
Matlamat Kita

Lirik lagu ini sungguh bermakna. Ungkapan katanya amat merangsang. Sukukata dan rentaknya bersinkroni; iramanya harmoni.

Alangkah elok jika rakyat Malaysia pada setiap peringkat komuniti mempunyai azam yang seiring dan matlamat yang serentak untuk bersatu semoga negara mencapai integrasi pada tahap nasional! Seperti ternyata dalam lirik lagu. 

Adakah hasrat ini hanya impian penggubah lagu dan musik yang berangan-angan sahaja? Tidakkah ia dapat menggetarkan jiwa  masyarakat yang  semakin terpisah mengejar hak sendiri? Mengapa ramai tidak lagi mendukung nilai-nilai mulia dan ada yang enggan menghormati antara satu sama lain?

Di merata dunia, di negara contoh sistem demokrasi seperti UK dan US, kita dengar ungkapan seperti “nation is divided”, “divisive politics” and “disparate communities” yang menggambarkan unsur-unsur ketidaksamaan yang mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.

Seolah-olah demokrasi yang sudah berjaya didirikan dengan bermacam-macam kebebasan asasi seperti beragama, berfikir, bersuara, berhimpun serta kebebasan diri yang lain itu, meluaskan lagi jurang perbezaan semulajadi dalam masyarakat manusia.

Adakah ini merupakan paradoks dunia moden di abad kedua puluh satu? Pencapaian manusia melambung tinggi tetapi mereka tidak bersatu? Mungkinkah ketidakpenyatuan ini pula bakal memusnahkan kemakmuran tamadun yang dibina? Musnah masyarakat, hampa manusia.
Tidak boleh diabaikan saja perkembangan negatif ini. Tidak boleh fikir “Oh! Ini perkara biasa yang akan pulih dengan sendiri. Tak mengapa kerana rakyat cerdik-pandai dan boleh mengasingkan buruk-baik dalam hidup mereka dan pembangunan negara”.

Ini merupakan pemikiran amat cetek dan boleh menimbulkan musibah. Korupsi dan bermacam-macam penyelewengan yang melanda negara membuktikan rakyat Malaysia berpegang kepada sistem nilai yang semakin merosot. Bahaya sudah nyata dengan adanya  pemimpin politik yang tidak menganggap pencurian sebagai jenayah. Kebebasan berfikir dan bersuara juga boleh membawa akibat buruk.

Perlu dibina pergerakan yang menonjol dan mempergiatkan usaha membentuk keamanan dan keharmonian dalam negara dengan mendirikan sistem nilai yang bermoral di kalangan rakyat. Perlu diutamakan nilai-nilai teras seperti saling hormati,  silaturrahim, amanah dan jujur antara satu sama lain.

Beberapa organisasi sivil dan pergerakan rakyat sudah mula mempergiatkan lagi usaha mereka untuk membentuk komuniti yang bersatu dan harmoni pada peringkat-peringkat tertentu. Komuniti yang disasar termasuk warga kawasan perumahan, universiti dan sekolah yang berbilang etnik dan usia, golongan muda dan dewasa, pelajar, guru dan ibubapa.

Kesedaran tentang pentingnya hubungan harmoni-mesra antara manusia harus dipupuk dan dibangkitkan semula dalam masyarakat moden yang lebih suka berkhayalan mencapai cita-cita kendiri, dan dalam proses melakukannya lupa bahawa mereka ada jiran dan rakan tetangga yang hidup bersama.

Begitu juga di universiti dan sekolah yang mengutamakan kejayaan akademik  dengan tidak memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan sivil  pelajar. Penekanan harus diberi kepada hubungan harmoni-mesra dengan rakan taulan dalam komuniti. Harus difikirkan metodologi dan strategi terbaik untuk mendidik pelajar yang peka terhadap soal-soal kemasyarakatan. Mereka perlu didedahkan kepada aktiviti komuniti luar menerusi  kemahiran ko-kurikular supaya dapat mengenalinya dengan baik dari bangku sekolah lagi.

Gabungan beberapa organisasi sivil yang bergerak di bawah platform Dialog Rakyat selama tiga tahun kebelakangan ini berjaya menerokai beberapa golongan sasaran untuk membina komuniti bersatu. Usaha ini dimantapkan menerusi beberapa Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga, Institusi Pendidikan Tinggi dan Sekolah. Setiap satu daripada komuniti tersebut disaran membentuk Code of Ethical Conduct/ Kod Kelakuan Etika masing-masing untuk diikuti oleh ahli-ahli mereka.  Kelakuan baik individu membentuk komuniti yang beretika dan harmoni.

Salah satu usaha yang berjaya dipelopori oleh Dialog Rakyat ialah memperkenalkan pergerakan Harmoni-Mesra di sekolah-sekolah bagi membangkitkan semula slogan-slogan penyatuan nasional yang sememangnya sedia ada dalam kurikulum pendidikan negaran. Objektif pergerakan Harmoni-Mesra ialah untuk memberi nafas dan strategi baru berlandaskan perkembangan baru dalam falsafah pendidikan negara.

Usaha sivil Dialog Rakyat menyokong amanat Menteri Pendidikan di mana tiga nilai teras diutamakan dalam pendidikan pelajar di sekolah, iaitu saling menghormati, cinta dan bahagia. Jalinan ketiga-tiga nilai tersebut di dalam satu pergerakan harmoni-mesra bakal membentuk pelajar yang menghargai keamanan dan kemakmuran negara yang mereka cinta.

Strategi yang paling berkesan ialah dengan melibatkan guru dan ibubapa menerusi Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) dalam aktiviti ko-kurikular seperti sukan dan seni. Aktiviti ko-kurikular sebegini bukan sahaja menambah kepada ilmu dan maklumat dalam bidang tersebut, tetapi membawa keseronokan dan kebahagian mengenali sosio-budaya masing-masing.

Dari sudut pendidikan pelajar, amat penting bahawa ibubapa dan guru saling berkerjasama bagi meyakinkan dan mendorong mereka untuk memperluaskan lagi pengetahuan terhadap komuniti dan dunia luar.

Dialog Rakyat akan terus memperkenalkan nilai-nilai pergerakan Harmoni-Mesra kepada golongan dan komuniti tertentu sebagai satu komitmen membentuk rakyat Malaysia yang bersatu dan berintegrasi untuk menjamin kesejahteraan negara..

* Datuk Halimah Mohd Said merupakan Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



Tag: Harmoni, Malaysia, Negaraku, pendidikan, menteri, Datuk Halimah Mohd Said, perpaduan, keharmonian, hubungan kaum


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.