Cara penyediaan makanan yang salah mungkin boleh menyebabkan bayi atau kanak-kanak tercekik ketika makan.

Menurut Presiden Persatuan Nutrisi, Dr Tee Ee Siong, cara penyediaan makanan amat penting terutamanya untuk bayi yang masih belum mencecah usia kanak-kanak.

"Bayi yang masih kecil harus diberi makanan yang sesuai mengikut umur mereka, dan tekstur makanan yang lembut adalah penting buat kanak-kanak terutamanya bayi kerana mereka tidak mempunyai gigi untuk mengunyah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

BACA : Bayi meninggal dunia selepas makan epal lenyek

Menurut Dr Tee, makanan yang keras perlu dikisar, direbus dan disuap dengan kuantiti yang kecil atau sedikit semasa diberikan kepada bayi.

Faktor alahan makanan juga harus diberi perhatian, tambahnya.

"Makanan dalam kategori protein berkemungkinan memberi alahan kepada bayi dan juga golongan dewasa. Namun, pemberian buah-buahan seperti epal tidak akan menyebabkan masalah alahan kepada bayi mahu pun golongan dewasa kerana buah-buahan tidak mempunyai protein," katanya.

Kejadian semalam melibatkan seorang bayi kecil berusia sembilan bulan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Baling apabila tidak sedarkan diri selepas diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuhnya di sebuah taska di Taman Mesra, Kupang, Baling.