Mengenali kerangka minda

Mengenali kerangka minda
Kerangka minda dipengaruhi oleh banyak faktor dalaman dan luaran. - Gambar hiasan
KESEMPURNAAN ciptaan Tuhan yang dinamakan manusia ini terletak kepada keupayaan akal fikirannya. Sekalipun tubuh badannya kecil dan kudrat fizikalnya terbatas jika dibandingkan dengan setengah makhluk haiwan lain yang jauh lebih besar dan kuat, manusia menguasai persekitarannya melalui kebolehan berfikir secara kritis dan kreatif.

Dengan otak yang luar biasa keupayaannya, manusia mampu belajar dari pengalaman peribadi dan kolektif, mencipta cara komunikasi secara lisan dan grafik, merakam peristiwa penting dan bersejarah untuk diperturunkan kepada generasi seterusnya. Begitulah sekali hebatnya keupayaan manusia menguasai dan mengawal persekitarannya dengan potensi akal fikiran yang dianugerahkan Allah kepadanya.

Kerangka minda (mindset) adalah corak pola pemikiran yang menjadi asas dan dasar kepada pembentukan sikap, tingkah laku dan perbuatan seseorang manusia.

Dengan kerangka minda, manusia membuat keputusan dan pilihan setiap saat dan ketika dalam hidupnya. Manusia mentakrifkan semua kejadian dan keadaan di sekelilingnya dengan kerangka minda, sebelum menentukan apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan. 

Kerangka minda dipengaruhi oleh banyak faktor dalaman dan luaran. Tahap kecerdasan intelek atau intellectual quotient (IQ), emosi dan persepsi serta personaliti adalah faktor dalaman seseorang yang mempunyai kesan penting dan signifikan dalam membangun kerangka minda atau cara berfikir.

Faktor luaran pula adalah kuantiti dan kualiti ransangan (stimuli) atau data maklumat yang diperolehi melalui panca indera, pengalaman dan peristiwa lalu yang memberi impak serta corak pemikiran kolektif dan kelompok semasa.  Kedua jenis faktor dalaman dan luaran ini bertindak balas dan saling mempengaruhi kerangka minda seseorang.
Menurut Prof Dr Carol S Dweck, seorang pakar psikologi dan penulis buku Mindset, terdapat dua jenis kerangka minda di dunia ini – pertama; kerangka minda terbelenggu, terkunci, tertutup, terhad dan jumud (fixed mindset) dan kedua; kerangka minda bercambah, berkembang dan terbuka ( growth mindset).

Pola pemikiran bagi kerangka minda terbelenggu disandarkan kepada keyakinan dan kepercayaan bahawa  bakat, tahap kecerdasan akal dan potensi adalah sesuatu yang telah termaktub dan ditetapkan, statik dan tidak boleh diubah lagi.

Kerangka minda terbelenggu mengatakan seseorang manusia itu lahir dengan bakat dan potensi sedia ada yang telah ditetapkan, sama ada tinggi atau sebaliknya, ditakdirkan tidak mempunyai bakat atau berpotensi rendah. Sikap dan perspektif yang terhasil dari kerangka minda terbelenggu akan menjadi lebih terbatas, sentiasa pasrah dan tidak berdaya saing.

Ibarat katak di bawah tempurung, rezeki secupak takkan jadi segantang, kalau kail panjang sejengkal masakan lautan hendak diduga – begitulah antara kata bidalan dan pepatah orang lama yang menggambarkan kerangka minda terbelenggu.

Sementara kerangka minda bercambah mempercayai dan menganggap bakat, potensi dan keupayaan seseorang boleh dipertingkat dan dibangunkan asalkan ada kemahuan, usaha dan kegigihan untuk terus mencuba dan istiqamah berikhtiar.

Tercetuslah bidalan kata yang menjadi khazanah berkurun lamanya – usaha tangga kejayaan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, sehari selembar benang akhirnya menjadi kain, sedikit- sedikit lama-lama jadi bukit, yang bulat tak datang bergolek yang pipih tak datang melayang, manakan dapat sagu kalau tak dipecah ruyungnya, berakit ke hulu berenang ke tepian bersakit dahulu bersenang kemudian. 

Untuk memperjelaskan lagi bagaimana kerangka minda berfungsi dalam hidup seharian, ayuh  kita lihat bagaimana ianya menentukan seseorang individu menangani empat keadaan berikut : 1) kegagalan dan kekurangannya; 2) risiko, halangan dan cabaran yang dihadapi; 4) teguran, maklum balas  (feedback) dan input luaran berkaitan keputusan dan tindakannya serta 4) kejayaan orang lain di sekelilingnya.

Individu yang mempunyai kerangka minda terbelenggu akan menganggap kegagalan dan kekurangannya sebagai sesuatu yang memalukan dan menghinakan. Bagi mereka yang mempunyai tahap kecerdasan intelek yang tinggi, kegagalan adalah satu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Mereka akan melakukan apa jua demi untuk terus kekal juara – walaupun terpaksa meniru, menipu dan menggadaikan integriti mereka. Sekiranya mereka tergolong pula di kalangan kelompok yang rendah IQ, tidak pandai atau cerdik, kegagalan adalah sesuatu yang sudah diduga dan dijangka sekian lama. 

Mereka mudah kecewa dan tidak bermotivasi untuk meningkatkan diri. Golongan ini juga tidak suka mengambil risiko atau mencuba sesuatu yang baru dan mencabar lantaran bimbang akan gagal di tengah jalan. Mereka sukar menerima teguran, maklum balas atau pandangan orang lain dan sering menganggap diri mereka sempurna dan tidak perlu lagi berubah.

Apabila terdapat orang lain yang lebih berjaya dan beroleh pengiktirafan, individu dengan kerangka minda terbelenggu akan merasa terancam dan sentiasa cuba menjatuhkan pihak yang menjadi saingannya.

Berbeza pula dengan individu yang mempunyai kerangka minda bercambah. DIa menganggap kegagalan adalah guru paling berkesan untuk usaha penambahbaikan di masa hadapan. Kekurangannya cuba diatasi dan dijadikan peluang untuk meningkatkan usaha. Dia gigih belajar dan memuhasabah diri.

Secara bijak, dia mengambil risiko dan menyahut cabaran yang terbentang di hadapannya. Keazaman untuk memperbaiki diri menjadikannya gemar mendapatkan maklumbalas dan input dari rakan dan teman, serta mudah menerima teguran yang konstruktif. Kejayaan orang lain menjadi inspirasi dan dorongan kuat untuk dia mencuba lagi dan lagi.

Tiada perkembangan positif yang mampu dinukil oleh individu yang mempunyai kerangka minda terbelenggu, selagi mana dia tidak berusaha untuk melatih dirinya mengubah dan menganjak pola pemikirannya kepada kerangka minda bercambah.



* Prof Dr Harlina Halizah Siraj berkelulusan Doktor Perubatan (UKM)1991, Sarjana Kepakaran O&G (UKM)1997 dan Sarjana Pendidikan Klinikal (Melbourne) 2018.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.