Semangat perpaduan yang diwariskan oleh Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kian dilupakan khususnya oleh masyarakat kontemporari.

Setelah 57 tahun mengecapi kemerdekaan, usaha-usaha Tunku yang sentiasa mencerminkan kepelbagaian terutamanya dalam konteks bangsa budaya dan agama atau keharmonian seolah-olah dipinggirkan terutamanya generasi baharu hari ini.

Presiden dan Pengasas Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Tunku Zain Al-'Abidin Ibni Tuanku Muhriz berkata tanpa pengetahuan tentang sejarah negara, warisan Tunku kian dilupakan begitu sahaja.

Tunku Abdul Rahman
Tunku Abdul Rahman menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Sungai Besi pada 6 Julai 1963 untuk ke Singapura dan seterusnya ke London bagi menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia. - Sumber Arkib Negara

Sebagai contoh, walaupun ramai akan bersorak “Merdeka!” bila tibanya Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, namun Tunku Abidin bertanya jika rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda tahu bagaimana negara mengecapi kemerdekaan.

“Namun kami amat bertuah kerana Tunku merupakan seorang penulis dan sering memberikan ucapan.

Dari situ, kita boleh membuat kesimpulan kita sendiri tentang kepercayaan Tunku," kata Tunku Abidin ketika ditemui di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini baru-baru ini.


Beliau turut berkata untuk jangka masa panjang, adalah penting untuk kanak-kanak sekolah yang di Malaysia daripada pelbagai latar belakang diberi pendedahan tentang warisan Tunku agar semangat perpaduan yang begitu sinonim dengan beliau dapat dipulihkan dalam masyarakat kontemporari kini.

Tunku Abdul Rahman
Tunku mengadakan sidang akhbar di residensi beliau pada 6 Julai 1963, bagi mengumumkan keberangkatan ke London untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia. -Sumber Arkib Negara

“Ada beberapa perkataan sensitif, provokatif dan manghasut yang dituturkan oleh sesetengah pihak yang langsung tidak hiraukan legasi Tunku. Dalam jangka masa pendek kita mesti hentikan apa-apa yang mengundang keganasan," katanya.

Tambah Tunku Abidin, walaupun Rukun Negara yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak, tertera di buku latihan di sekolah, maksudnya seolah-olah tidak dihargai.


Menurut Tunku Abidin, legasi yang dilupakan oleh masyarakat hari ini adalah sumbangan Tunku kepada golongan Melayu dan Islam.

Hingga ke hari ini, kata Tunku Abidin, Tunku masih lagi diserang dengan tuduhan (yang Tunku) tidak begitu pro-Melayu. Hakikatnya, Tunku menjadi Presiden UMNO untuk meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu.


Tunku Abdul Rahman
Tunku Abdul Rahman semasa berucap kepada wartawan asing di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961. Di majlis itu, buat pertama kalinya Tunku menyuarakan cadangan penubuhan Malaysia. - Sumber Arkib Negara

“Namun Tunku melihat perjuangannya itu serasi dengan kebebasan dan demokrasi dalam satu negara yang pelbagai. Bagi beliau, memajukan orang Melayu bermakna mengukuhkan mereka untuk berkembang maju dan berjaya dalam dunia ini.

“Malang sekali, terdapat beberapa kumpulan hari ini berfikir bahawa mengukuhkan orang Melayu bermakna mereka perlu dilindungi secara keseluruhan dari rejim undang-undang dan memberikan kengkangan terhadap golongan bukan Melayu, di mana dalam jangka masa panjang ia akan hanya melemahkan orang Melayu.

Sumbangan Tunku kepada agama Islam hampir dilupakan walaupun Tunku pernah memegang jawatan-jawatan penting termasuk pengasas dan presiden pertama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Setiausaha Agung pertama sekretariat Islam, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).


Jika Tunku masih hidup sehingga hari ini, Tunku Abidin berpendapat Almarhum pasti kagum dengan pembangunan ekonomi dan infrastruktur fizikal di Malaysia. Namun, Tunku Abidin turut berkata Tunku berkemungkinan akan bersedih kerana ada antara doktrin yang dizahirkannya tidak diendahkan oleh rakyat Malaysia.

Tunku Abidin berkeyakinan yang Almarhum juga akan sentiasa memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat sivil di negara ini.

“Almarhum Tunku pasti akan terus menulis, memberi ucapan dan akan menyertai sebuah parti politik,” kata Tunku Abidin lagi.