'Stalking' atau menghendap bekas pasangan sama ada menerusi perlakuan nyata atau media sosial tidak boleh dimasukkan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata takrifan menghendap dalam Kanun Keseksaan (KK) bukanlah satu jenayah.

Justeru jelasnya, perlakuan menghendap perlu dimasukkan dalam KK dan ditakrifkan sebagai jenayah sebelum sebarang akta boleh dibentuk atau dipinda.

"Memandangkan takrif 'stalking' ini bukan jenayah dalam Kanun Keseksaan, jadi kita tidak boleh masukkan ia di dalam Akta Keganasan Rumah Tangga kerana akta ini sudah ditakrifkan sebagai jenayah. Unsur 'stalking' itu tidak boleh bertahan atau ditakrifkan dalam akta ini.

"Jadi apa kita hendak buat untuk mengambil langkah seterusnya? Takrif atau kesalahan 'stalking' mesti dimasukkan dalam Kanun Keseksaan sebagai jenayah dahulu baru kita boleh ambil tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas penggulungan pindaan Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan Akta tersebut mendapat sokongan Ahli Parlimen menerusi undi suara dengan tiada sebarang pindaan dilakukan.

Pindaan kepada Akta tersebut bertujuan untuk mempertingkatkan perlindungan kepada mangsa dan membantu memulihkan institusi kekeluargaan.

Merujuk kepada statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula pada tahun 2014 sehingga Disember 2016, sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan.

Lima perkara utama yang diberikan perhatian dalam Rang Undang-Undang ini adalah memperluaskan tafsiran Keganasan Rumah Tangga iaitu membolehkan mangsa mendapatkan perintah perlindungan interim (IPO) dan perintah perlindungan (PO) apabila pelaku menggelapkan harta mangsa sehingga mangsa mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan; pelaku mengugut mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa itu takut akan keselamatan dirinya atau keselamatan hartanya atau keselamatan pihak ketiga atau mengalami kesedihan; dan pelaku berhubung dengan mangsa, atau berhubung dengan pihak ketiga tentang mangsa, dengan niat untuk mengaibkan kehormatan mangsa itu melalui apa-apa cara, elektronik atau sebaliknya.

Selain itu, pindaan juga melibatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) iaitu perintah perlindungan sementara (ex-parte) yang boleh diperoleh dengan segera daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat yang diberikuasa sekiranya mangsa dalam keadaan ketakutan dicederakan secara fizikal atau mangsa dicederakan secara fizikal.

Pemberian hak penghunian eksklusif kediaman bersama kepada mangsa bagi memberi perlindungan terhadap keselamatan diri mangsa semasa dalam IPO dan PO.

Program Pemulihan turut diwujudkan di bawah kelolaan KPWKM yang bertujuan untuk memberi kesedaran dan pendidikan seperti kekeluargaan, pengurusan kewangan dan pengurusan emosi kepada pelaku dan mangsa dalam tempoh perintah perlindungan bagi menangani punca permasalahan keganasan rumahtangga; dan penambahbaikan perintah IPO dan PO dalam aspek pemakluman status kepada mangsa bertujuan untuk menjamin prosedur kerja yang lebih telus dan cekap disamping memberi perlindungan yang lebih baik kepada mangsa sama ada di bawah IPO atau PO.