Perbuatan mengintai dan menghendap bakal menjadi satu kesalahan dan rang undang-undang (RUU) mengenainya dijangka akan dibentang di Parlimen Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata dokumen-dokumen penting berkaitan RUU berkenaan telah diserahkan kepadanya untuk diteliti, seterusnya dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan, sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri untuk persetujuan dan kelulusan.

"Saya kini sedang meneliti draf rang undang-undang tersebut yang telah siap. Ia boleh dibentang dengan cepat jika ada kesungguhan, saya menjangka pada tahun ini juga. Untuk sesi persidangan (Parlimen) bulan Mac mungkin tidak sempat kerana terlalu suntuk, tapi kita melihat kemungkinan bulan Julai dan Oktober.

"Ia boleh dibuat cepat sekiranya semua kertas berkaitan telah siap. Ini adalah rang undang-undang mengenai 'stalking', mengintai dan menghendap," katanya kepada wartawan di luar persidangan Rantau Asia "Kepimpinan Politik Wanita: Mewujudkan Perubahan Positif" di bangunan Parlimen hari ini.

BACA: Intai, hendap perlu diklasifikasi sebagai jenayah - Pakar

Beliau berkata pada masa ini pihak berkuasa perlu bergantung kepada undang-undang berkaitan ugutan jenayah atau serangan, yang di bawah undang-undang berkenaan, pesalah perlu menyentuh, mengugut dan menyerang mangsa terlebih dahulu sebelum tindakan boleh diambil terhadapnya manakala mangsa pula perlu mengemukakan klip video sebagai bukti kesalahan jenayah berlaku.

"Kadangkala apabila wanita sedang dikejar, dia tIdak dapat rekod (rakam), jadi dia akan datang ke polis dan polis akan kata tidak ada keterangan yang kukuh untuk mengambil tindakan. Dia akan kata, adakah dia sentuh, tidak ada. Adakah dia pukul you, tidak ada. Tetapi you know apabila you kena intai or hendap, ketakutan you dalam fikiran.

"Mereka (suspek) boleh menggunakan telefon bimbit pesanan ringkas WhatsApp, media sosial untuk memberikan tekanan kepada mangsa. Jadi dengan adanya undang-undang ini kelak, kita tidak payah tunggu sampai dia sentuh, pukul ataupun melakukan sesuatu terhadap wanita atau individu tersebut...Sekiranya dilakukan kerap, polis boleh ambil tindakan," katanya.

BACA: Jadikan 'stalking' jenayah di Malaysia - WAO

Liew menarik perhatian, hasil kajian turut mendapati, apabila mangsa menerima pelbagai tekanan akibat diintai dan dihendap, terdapat kemungkinan tinggi untuk individu tersebut membunuh diri dan kerana itu tindakan kepada pesalah intai dan hendap perlu dilakukan.

Tegasnya, undang-undang yang bakal dilalaksanakan itu juga antara satu bentuk pencegahan sebelum sesuatu jenayah berlaku kepada mana-mana mangsa yang mungkin telah diintai dan dihendap beberapa kali atau berbulan-bulan lamanya.

"Janganlah tunggu sampai sesuatu berlaku baru tertindak. Kadangkala dalam kes ini, biasanya apabila dia telah pun menghendap ataupun mengintai seseorang, akan ada satu tahap di mana dia akan melakukan sesuatu yang lebih ganas daripada sebelum itu.

"Kita tidak mahu tunggu sampai keganasan itu berlaku dan keselamatan wanita itu terjejas. Jadi kita mesti ada satu undang-undang untuk menjaga keselamatan kaum wanita kita," tambahnya