KALAU baru-baru ini artikel ini membincangkan hal berkaitan Rohingya dalam ruang lingkup global, bahagian kedua ini lebih khusus menjurus kepada Rohingya dan Malaysia.

Ini lebih dekat dengan kita memandangkan bukan sedikit etnik malang ini diam di Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu. Jumlah ratusan ribu yang ada di Malaysia sekarang adalah terjemahan faktor tolak dan tarik - dicetus sama ada oleh sikap ganas di negara sendiri atau penerimaan di tempat baharu yang jadi perlindungan. Senario ini membuka pula kepada persoalan-persoalan yang berlegar dalam konteks Malaysia yang menerima Rohingya secara tidak langsung.

Persoalan 1: Siapa Rohingya di Malaysia?

Jika pernah ke Selayang, Selangor, lebih khusus di kawasan Pasar Borong dan kalau ada yang begitu tajam pemerhatiannya, pasti menyedari ada “sekelompok yang bukan boleh dikatakan orang tempatan, malah bangsa India pun bukan atau “Mamak” juga tidak.

Bahasa pertuturan berlainan

Mereka ini, berdasarkan warna kulit agak mirip dengan kumpulan disebutkan itu, tetapi Rohingya hanya dikenali apabila bahasa pertuturan mengambil tempat dalam komunikasi.

Bagaimanapun mereka yang tinggal lama di Malaysia sudah pasti fasih berbahasa tempatan, malah kalangan yang berada dalam hierarki berjaya pula menggunakan Bahasa Inggeris dalam komunikasi dengan warga tempatan.

Malangnya, di sebalik itu semua, status mereka tidak memberi jaminan survival dalam erti hak asai sepenuhnya. Mereka hanya mendapat ehsan kita semua kerana ada begitu ramai yang murni hatinya tampil membantu. Sikap berhati wangi ini, menarik rangkaian kelompok lain untuk terus datang dan datang ke Malaysia.

Sukarnya hidup Rohingya di Malaysia

Rohingya sukar mendapat kerja di Malaysia. Untuk hidup, mereka memerah keringat melakukan kerja-kerja keras, kotor dan bahaya yang tidak digemari warga tempatan. Anak mereka tidak dibenarkan bersekolah, mencetuskan persoalan masa depan gelap generasi Rohingya.

Malaysia bukan anggota Konvensyen Pelarian 1951, maka status mereka dilabel pukul rata - hanya pendatang asing, lain-lain tiada, sampai bila-bila, kecuali daripada bukan anggota kepada anggota bertukar terma.

Rohingya

Mangsa hak asasi

Realitinya, tenggelam timbul status ini menjadikan pula Rohingya mangsa hak asasi _ditahan penguatkuasa kerana tiada dokumen sah; dicekup pihak imigresen ketika enak bermimpi, dikenakan bayaran tinggi pihak hospital saat mahu menyelamatkan denyut.

“Hidup ini begitulah, kami diterima di Malaysia atas dasar agama, iaitu Islam. Tetapi kami tetap Myanmar, saya diterima sebagai sahabat Muslim dari Myanmar, bukan sahabat Muslim. Tetapi tetap perlu berjaga-jaga apabila keluar, beri nasihat berwaspada kepada keluarga dan rakan-rakan senegara,’’ akui salah seorang warga Rohingya yang ditemui, Mohamed Farouq.

Kesimpulannya, duduk letak Rohingya di Malaysia masih terumbang-ambing; namun jauh lebih baik daripada terdedah menjadi mangsa kekejaman tentera di negara sendiri.

Persoalan 2: Benarkah kita berlaku adil kepada Rohingya?

Kita jujur sahaja. Adil itu meletakkan sesuatu di tempatnya. Analoginya mudah. Songkok letaknya di kepala. Tidak adil kita, kalau ditempatkan di kaki.

Kisah Rohingya, kisah air mata

Begitu juga isu Rohingya. Mereka mangsa keganasan, penindasan dan kekejaman. Suara mereka masyarakat tertindas, ada trauma dan imbauan pahit yang menghimpit. Kita katakan, kita bersimpati, tetapi percayalah, simpati kita mudah hilang dengan laporan belum tentu ada benar, sahih atau palsunya.

Rohingya, kepada saya kisah air mata yang berpanjangan, silap kita bersimpati sahaja. Pertimbangkan ini. Rohingya umat ditindas dan dizalimi. Tetapi kezaliman dikatakan mulia_ apalagi dikaitkan dengan perang menentang keganasan.

Air mata keinsafan

Kita mungkin percaya, entah tidak, apabila dikatakan berlaku pembunuhan kaum atau pembersihan etnik di sana. Jika ada yang tersentuh, terkejut dengan imej-imej menakutkan tersiar jadi viral, barangkali, ia hanya seketika, keinsafan mengalir jadi tumpul tiba-tiba dengan satu kesatan dan sapuan.

Maka di mana keadilan kita kepada Rohingya? Atas semangat ukhuwah dan dasar sederhana diamalkan Malaysia, keadilan kita, kaum Ansar kepada Rohingya ialah menerima kaum Muhajirin ini dengan baik. Dan semangat ini wajar berterusan, tidak hanya semarak apabila tersiar laporan keganasan ke atas mereka atau berlaku sesuatu terhadap Rohingya.

Kumpulan anti-Rohingya

Tidak adil kita kepada Rohingya ialah melemparkan dakwaan bahawa mereka bangsa tidak sedar untung, tidak mengenang budi. Benar, ada sekelompok yang sudah berada dalam zon selesa dan tidak menghiraukan kesengsaraan rakan senegara mereka, tetapi mewujudkan satu kumpulan yang anti-Rohingya dengan hujah-hujah tanpa bersandarkan kepada sejarah dan fakta, adalah seolah-olah “tidak meletakkan sesuatu itu di tempatnya”.

Rohingya

Hutang kepada Rohingya

Pertimbangkan perkara mudah ini. Mereka berada di sini sudah lebih 30 tahun, kenapa baru kini, apabila isu Rohingya lari dari keganasan marak semula, soal Rohingya di Malaysia ditimbulkan semula. Perlu diingatkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menjelaskan pendirian bahawa Malaysia menerima Rohingya atas dasar kemanusiaan dan agama. Melihat semula isu keadilan kepada Rohingya di Malaysia, kepada saya, kita berhutang banyak dengan Rohingya, ketika kita cuma memberi terlalu sedikit.

Persoalan 3: Bagaimana seharusnya bantuan kepada Rohingya?

Percayalah, apabila semua perhatian ini reda, bantuan kepada Rohingya mula susut. Perhatian mula beransur-ansur hilang bakal beralih pula kepada isu kemanusiaan lain yang diangkat sebagai mendesak.

Sorotan luar biasa disusuli bantuan mencurah-curah ini, bukan berlaku pertama kali. Awal tahun ini juga berlaku keganasan dan pembunuhan. Jangan dilupakan, tabung bantuan wujud di sana-sini dan aktiviti amal atas nama Rohingya turut mudah disertai.

Persoalan adil dalam bantuan

Tetapi, persoalan lain juga perlu turut sama dijawab. Adakah bantuan ini sampai kepada sasarannya? Apakah bantuan dihulur diberi secara adil? Adil dalam konteks ini, kena dan tepat kepada kumpulan dan masanya, Jangan sampai, jika penderitaan mereka jatuh semasa musim sejuk, kita berlumba-lumba mahu menderma pakaian tidur yang nipis tetapi mahal. Atau, kita lupakan untuk dermakan lampin pakai buang ketika kemudahan tandas sukar diakses oleh mereka.

“Alangkah gembira warga Rohingya jika ada bantuan bahasa, fahami bahasa derita dan trauma mereka. Benar, mereka perlukan makanan, itu adalah asas. Betul, mereka mahukan wang, kerana itu untuk survival. Tetapi, kerana mereka juga manusia, ada perasaan yang perlu difahami hanya melalui bahasa,’’ kata Sharifah, warga Rohingya yang giat menjalankan kerja-kerja kemanusiaan membantu pelarian wanita baru tiba di Malaysia.

Fahami sejarah untuk membantu Rohingya

Kebanyakan warga Malaysia, tidak keterlaluan dikatakan bahawa mereka beri bantuan tanpa faham apa yang perlu dibantu. Begitu halnya dalam isu Rohingya. Kerana kita membantu berdasarkan soal kemanusiaan, kita perlu jadi manusiawi terhadap Rohingya. Darjah manusiawi kemanusiaan kita diukur kerana faham atau tidak isu kontemporari ini. Kita bukan manusiawi jika berhati batu tidak membantu Rohingya. Membantu Rohingya pula jenisnya pelbagai, bukan wang ringgit atau harta semata-mata. Memahami akar sebenar masalah Rohingya juga boleh sahaja dikira membantu.

Persoalan 4: Rohingya: Mahu pulang atau tinggal lama di Malaysia?

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Begitu halnya dengan Rohingya. Daripada lebih 150,000 warga Rohingya berada di Malaysia, majoriti mereka senada dalam satu perkara, Malaysia negara kedua, tiba masa pulang juga.

Asimilasi dan integrasi

“Ada program asimilasi diperkenalkan kerajaan Malaysia untuk warga Rohingya, tetapi kami bukan mahu selama-lamanya di sini atau jadi sebahagian daripada masyarakat tempatan. Apa yang

perlu ialah pekerjaan, sediakan kemahiran untuk survival kami di sini sebelum pulang ke negara asal pada bila-bila masa,’’ kata seorang warga Rohingya yang mahu dikenali sebagai Amir Rohang.

Tekad Rohingya

Tidak dapat tidak, walaupun hidup di Malaysia tidak sesusah di Myanmar, masyarakat pelarian Rohingya ada tekad dalam hatinya untuk kembali berbakti kepada pertiwi pada suatu hari nanti.

Terdapat lebih sejuta warga Rohingya hidup secara diaspora di seluruh dunia sedang menunggu masa keramat dan waktu yang menyebelahi mereka sebelum mahu pulang ke tanah air.

“Saya hidup selesa di Amerika Syarikat, tetapi saya ada azam, iltizam untuk membantu bangunkan generasi di tanah air sendiri,’’ kata Profesor Dr Wakar Uddin, warga Rohingya di Pennsylavania yang juga Pengarah Kesatuan Rohingya Arakan (ARU). Beliau ditemui semasa satu persidangan mengenai Rohingya di Norway sebelum ini.

Cerita derita Rohingya, kisah tangisan tiada siapa peduli ini amat banyak pengajarannya. Silap kalau kita hanya bersimpati. Ada baiknya kita belajar daripada mereka. Bahawa kisah mereka, dizalimi, ditindas lagi lalu dizalimi terus, adalah cerminan perjuangan umat yang mempamerkan segala yang baik dan buruk tentang tamadun manusia moden. Bahawa kita juga jadi lambang kemanusiaan dan ujian tahap manusiawi semasa menghadam isu ini.


*Artikel ditulis oleh Pengkaji Etnik Rohingya, Institut Asia Eropah (AEI), Universiti Malaya dan juga Pengarang dan Produser Buletin Astro AWANI, Azlinariah Abdullah.

** Beliau juga ialah penulis buku 'Air Mata Kesengsaraan Rohingya - Identiti, Penindasan dan Pelarian'.

***Pandangan penulis tidak semestinya mewakili pandangan sidang editorial Astro AWANI.