Meninggal dunia ketika alunkan zikir

Meninggal dunia ketika alunkan zikir
Arwah ditemui jemaah lain yang datang untuk solat Subuh. -Foto Sinar Harian
BALING: Seorang jemaah meninggal dunia ketika sedang mengalunkan zikir (bertahrim) sementara menanti masuk waktu Subuh di Masjid Huda Kupang, hari ini.

Isteri, Halimah Lateh, 63, berkata, suaminya Salleh Hussin, 66, sebelum itu keluar ke masjid pada jam 5.30 pagi.

Menurutnya, arwah ditemui dalam keadaan bersila dan tertunduk oleh jemaah lain yang hadir ke masjid tersebut.

"Suami biasanya akan alunkan zikir sebelum masuk waktu solat untuk jemput jemaah lain.
"Ketika kejadian, jemaah yang datang  nampak suami sudah dalam keadaan duduk dan tertunduk," katanya ketika ditemui di Kampung Pisang, hari ini.

Katanya, suaminya tiada penyakit serius namun adakalanya mengalami kepenatan.

"Pagi tadi pun selepas tahrim dia keletihan. Selalunya makcik ikut dia ke masjid, hari ini solat di rumah.

Katanya, Salleh sering berjemaah dan bertahrim di surau dan masjid selepas pulang daripada umrah pada 2012.

"Lepas balik umrah dia selalu pi surau dan masjid. Jumaat dan Sabtu dia ke masjid dan hari lain ke surau," katanya.

Halimah berkata, tiada perubahan ditunjukkan suami namun Salleh tidak menjamah makanan.

"Bila tanya kenapa tak makan, dia tak kata apa, daripada tengah hari sampai Subuh tadi suami juga tak berbual seperti kebiasaan," katanya.


Tag: jemaah, zikir, bertahrim, Subuh, Masjid Huda Kupang, Halimah Lateh, Salleh Hussin


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.