Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melaksanakan program pelupusan sampah di kampung-kampung seluruh negara tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis September ini melibatkan beberapa kampung yang sudah dikenal pasti.

"Kita sudah bincang dan sekarang dalam proses untuk mengenal pasti modul yang sesuai. Ia akan dimulakan pada September tahun ini dengan kampung-kampung terlibat," katanya pada sidang media sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di sini hari ini.

Perincian lanjut mengenai program berkenaan bagaimanapun akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai.

Langkah itu mampu menyelesaikan masalah pencemaran dan kemusnahan alam sekitar.

"Isu pelupusan sampah, kalau di bandar-bandar kita ada PBT yang datang kutip sampah. Namun di kampung? Mereka buang sampah di mana? Biasanya bakar dan buang sampah secara haram.

"Isu ini, jika kita dapat selesaikan untuk masyarakat luar bandar, dapat menyelesaikan isu alam sekitar, kebersihan dan mendidik msayarakat kampung.

"Jadi, kita dalam proses untuk adakan program pelupusan sampah untuk kampung-kampung," kata Rina.

Tambahnya, selepas kampung tersebut menjalankan projek rintis, ia akan diperluaskan kepada kampung-kampung yang lain.

"Kita akan berikan ilmu dan pendidikan kepada mereka," ujarnya lagi.

Ketika ini, katanya, terdapat kira-kira 15,000 kampung di seluruh negara.

"Ia akan dilakukan secara berperingkat. Kita akan umumkan nanti. Kita akan buat engagement dengan pelbagai pihak," ujarnya.