Menteri cadang longgarkan syarat, sasar bomba ambil 15 peratus wanita

Menteri cadang longgarkan syarat, sasar bomba ambil 15 peratus wanita
Zuraida juga menyasarkan jumlah anggota bomba wanita akan ditambah sehingga 15 peratus menjelang tahun depan. --fotoBERNAMA/Hiasan
KANGAR: Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini mencadangkan supaya syarat dan kriteria kemasukan sebagai anggota bomba dan penyelamat, terutama bagi kaum hawa, dilonggarkan.

Ketika ini, katanya, wujud kelompongan di dalam anggota bomba, terutama dari segi latihan kaunseling, pengendalian emosi, pengurusan rumah tangga serta kes-kes kebakaran di kawasan dapur.

Kes-kes tersebut, menurut Zuraida, memerlukan kudrat dan kekuatan anggota bomba wanita.
Tegasnya, ujian kelayakan fizikal sedia ada seperti memanjat tali, agak sukar bagi golongan wanita kerana ia memerlukan kudrat yang banyak berbanding ujian lain.

"Saya tanya kenapa kurang wanita yang dapat masuk (jadi ahli bomba). Antara sebabnya, latihan untuk layak masuk. Semua boleh lulus latihan atau halangan yang lain tetapi apabila panjat tali, orang perempuan gagal.

"Jadi, sebab itu, pertimbangkan balik ujian fizikal untuk jadi ahli bomba ini, teliti balik," katanya selepas melawat Balai Bomba Kangar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan insurans berkelompok RM43,000 dan RM42,900 daripada Koperasi Pekerja Bomba kepada Yuzena Yaakob, balu kepada anggota bomba Ezman Yahya yang maut dalam kemalangan jalan raya Januari lepas.

Sementara itu, Zuraida juga menyasarkan jumlah anggota bomba wanita akan ditambah sehingga 15 peratus menjelang tahun depan.

Daripada kira-kira 140,000 anggota bomba pada masa ini, hanya lima peratus terdiri daripada golongan wanita atau kira-kira 700 orang.