Kaum bukan Melayu digalak untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Latihan Pertanian (ILP) dalam membantu negara untuk memperkasa pembangunan sektor pertanian tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata buat masa ini hanya kira-kira lima peratus kaum bukan Melayu mengikuti pengajian di ILP sementara selebihnya adalah kaum Melayu.

"Sehingga kini kementerian melahirkan lebih 19,000 graduan terlatih semenjak 1969," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pertanian Kelapan di sini pada Sabtu.

Selain ILP beliau juga berhasrat agar kaum bukan Melayu terlibat dengan pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan kementerian.

"Graduan ILP mendapat tempat yang yang baik dalam pasaran kerja dengan kira-kira 70 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh setahun manakala selebihnya memilih untuk bekerja sendiri," katanya.

Beliau juga berkata penggunaan teknologi adalah elemen penting yang mampu menarik minat golongan belia bagi menjadikan sektor agromakanan sebagai kerjaya pilihan.

"Saya mengharapkan engagement dapat dibuat dengan syarikat-syarikat pengeluar makanan antarabangsa seperti KFC, McDonald, Pizza Hut supaya mereka memberi peluang kepada graduan ILP untuk menyertai mereka," katanya.

Kementerian akan cuba untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat berkenaan agar lebih ramai graduan ILP mendapat pekerjaan selain menimba pengalaman dan ilmu dalam teknologi pemakanan.

-- BERNAMA