Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Selasa meluahkan perasaan geram atas kejadian kemalangan maut yang disebabkan pemandu mabuk.

Sambil merujuk pada kes kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar tingkatan lima selepas dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raja Laut, kira-kira pukul 3 pagi tadi, beliau berkata, itu adalah antara alasan kementeriannya bertekad untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hari ini, Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 selepas bacaan kali ketiga.

"Ini sesuatu yang amat menggembirakan hati saya dan juga warga Kementerian Pengangkutan," katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini, pada Selasa.

Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsi laporan sebuah akhbar mengenai kes Hakimi Romli, 17, yang maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun mengubah haluan secara tiba-tiba untuk masuk ke lorong lain.

Mangsa yang pada ketika itu sedang menunggang motosikal di Jalan Raja Laut itu tidak sempat mengelak kereta berkenaan sebelum melanggar pintu sisi depan kenderaan terbabit.

Ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) yang dijalankan ke atas pemandu itu juga mendapati mengandungi alkohol dalam badan itu.

Ka Siong menambah, kementeriannya semakin hampir merealisasikan hasrat bersama untuk memperkasakan lagi akta berkenaan, khususnya berkaitan pemanduan mabuk, dipengaruhi alkohol serta memandu secara melulu atau berbahaya.

Pada 26 Ogos lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan untuk menguatkuasakan hukuman yang lebih berat atas kesalahan memandu secara berbahaya dan mabuk yang menyebabkan kecederaan atau kematian.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undian suara dan turut mendapat sokongan daripada kerajaan dan pembangkang termasuk bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Bagi kejadian yang menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya, Seksyen 41 (1) akta itu akan dipinda untuk menaikkan hukuman penjara minimum menjadi lima tahun, iaitu penambahan dua tahun berbanding peruntukan sebelumnya.

Bagi pesalah berulang, mereka boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun.

Sementara itu, denda di bawah Seksyen 41 juga dinaikkan dari RM20,000 kepada RM50,000 untuk pesalah pertama, dengan sabitan berikutnya boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Seksyen 44 (1A) yang baharu menyatakan bahawa mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kecederaan boleh dipenjara antara tujuh hingga 10 tahun, dan didenda dari RM30,000 hingga RM50,000 untuk pesalah pertama.

Bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian, Seksyen 44 (1) akan diubah untuk meningkatkan hukuman antara 10 hingga 15 tahun dan denda dari RM50,000 menjadi RM100,000.