Menteri Pendidikan Tinggi dan kerajaan hari ini berjaya membatalkan saman pemula difailkan empat penuntut Universiti Malaya (UM) berhubung tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mereka kerana menyertai satu perhimpunan aman pada Ogos tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Mohamad Rizal Fadzil mewakili Menteri Pendidikan Tinggi dan kerajaan ketika ditemui pemberita berkata, Hakim Mahkamah Tinggi S. Nantha Balan membenarkan permohonan anak guamnya untuk membatalkan saman itu ketika sebutan kes hari ini.

Prosiding yang berlangsung di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Cyrus Tiu Foo Woei, mewakili empat penuntut tersebut selaku plaintif.

Mohamad Rizal berkata pihaknya memohon supaya saman pemula itu dibatalkan atas alasan Menteri Pendidikan Tinggi dan kerajaan selaku defendan kedua dan ketiga tidak terlibat dalam tindakan tatatertib yang dikenakan oleh UM terhadap kesemua penuntut berkenaan.

Bagaimanapun, katanya universiti tersebut masih kekal sebagai defendan dalam saman pemula itu dan kes berkenaan akan didengar pada 21 April depan.

Empat penuntut UM - Anis Syafiqah Md Yusof, 25, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, 24, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, 23, dan Suhail Wan Azahar, 23, masing-masing pelajar Ijazah Sarjana Muda di Akademi Pengajian Islam memfailkan saman pemula itu pada 27 Dis 2016.

Dalam saman itu, kesemua plaintif berkata pada 27 Ogos 2016, mereka telah menyertai satu perhimpunan aman di ibu negara bagi menggesa kerajaan mengambil langkah mengenal pasti individu yang dinamakan sebagai 'Malaysian Official One' dalam aduan yang dikemukakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan mereka didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UM pada 9 Dis 2016.

Plaintif mendakwa mereka didenda RM400 serta diberikan amaran selain Anis Syafiqah yang juga pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan), Mohamad Luqman Nul Haqim dan Muhammad Luqman Hakim digantung pengajian selama satu semester bermula Februari ini.

Mereka menuntut deklarasi bahawa Seksyen 15(3)(b) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Akta 1971) (AUKU) atau Peraturan 3 dan 13 Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, tidak mengecualikan untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata sepertimana termaktub dalam Perkara 10(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dituntut satu deklarasi bahawa Seksyen 15(3)(b) AUKU dan Peraturan 3 dan 13 Kaedah-kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan, selain deklarasi bahawa prosiding disiplin dan tatatertib yang dikenakan ke atas mereka menyalahi undang-undang.

-- BERNAMA