Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Kementerian Pertahanan tidak pernah menaja kos RM4 juta yang diperlukan pelari solo, Dr. Suwaibah Muhammad Nasir.

Pejabat Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan menjelaskan, Mohamad hanya memberikan sokongan kepada usaha Dr Suwaibah untuk misi menawan 30 menara tertinggi di dunia.

Mohamad dan Kementerian Pertahanan, bagaimanapun, bersedia menyokong segala usaha baik yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.

"Adalah tidak adil kepada mana-mana atlet menuduh sokongan kepada Dr. Suwaibah sebagai berat sebelah sekiranya mereka sendiri tidak pernah cuba untuk bertemu dan mendapatkan sokongan Kementerian Pertahanan dan Menteri," kata kenyataan tersebut.

Khamis lalu, Dr Suwaibah dilaporkan berkata, beliau memerlukan dana kira-kira AS$1 juta (RM4 juta) bagi melengkapkan Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia.

Menurut Dr Suwaibah, dana itu diperlukan bagi menampung kos yang tinggi termasuk penginapan, tiket kapal terbang, permohonan visa serta perkara berkaitan bagi melengkapkan misi tersebut.

Beberapa pihak kemudianya mengkritik pelari solo itu dan berpendapat beliau boleh melengkapkan misinya dengan kos yang jauh lebih rendah.

Malah ada yang berpendapat kerajaan sewajarnya memberikan tajaan atau bantuan kepada Soh Wai Ching, atlet ranking nombor lima dalam acara tersebut.