Menteri atau timbalan menteri wajib hadir dan menjawab sendiri soalan yang dikhususkan kepada kementerian masing-masing di Dewan Rakyat.

Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff membuat ketetapan itu selepas dipohon Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pada Khamis lalu.

“Pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan kepada menteri adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan juga selaras dengan Konvensyen yang diamalkan di negara luar.

“Justeru sekali lagi saya ingin menegaskan, Menteri atau timbalan menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal-hal yang dalam jawatan urusan mereka perlulah hadir bagi menjawab setiap pertanyaan yang dikemukakan,” ujar Mohamad Ariff di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau, walaupun Peraturan Mesyuarat 24(1) membenarkan mana-mana menteri untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan, namun Peraturan Mesyuarat 21(1)(A) dan 21(3) menetapkan pertanyaan-pertanyaan hendaklah dijawab oleh menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal-hal yang dalam jawatan urusan mereka dan mempunyai pengetahuan istimewa tentang perkara yang ditanya.

Pada Khamis lalu semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Ka Siong telah membangkitkan Peraturan Mesyuarat 21 (1)(A) dan memohon ketetapan daripada Mohamad Ariff berhubung pertanyaan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) yang dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin bagi pihak Menteri Dalam Negeri yang dianggap sebagai tidak menghormati ahli Parlimen.

Ka Siong yang sedia maklum berkenaan keadaan kesihatan Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mengizinkan namun bagi beliau adalah tidak patut untuk Timbalan Menteri KDN, Datuk Azis Jamman untuk ponteng menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Rakyat dan menghadiri program lain.