Setiap kali menjelang perayaan Gawai Dayak di Sarawak antara menu utama yang menjadi pilihan orang ramai adalah ‘manok pansuh’.

Perkataan ‘manok’ bermaksud ayam dimasak dalam buluh seperti penyediaan lemang sewaktu sambutan hari raya.

Mempunyai keunikan tersendiri makanan tradisional yang begitu sinonim dengan kaum peribumi ini merupakan salah satu makanan yang paling popular di negeri Bumi Kenyalang ini.

Terkenal bukan sahaja di Sarawak, manok pansuh ini sudah dikenali bukan sahaja di Sabah dan Sarawak dan di Semenanjung Malaysia.

Ia memerlukan bahan yang kaya dengan kandungan nutrisi yang tinggi terdiri termasuk sayur-sayuran yang lazim digunakan oleh masyarakat di negara ini.

Bahan-bahan bagi proses membuat juadah ini mudah didapati dan murah. Jika anda berada di luar bandar, tidak perlu gusar kerana bahan-bahannya merupakan bahan-bahan yang senang didapati di pasar atau di pasaraya besar berdekatan.

Bahan-bahannya termasuk daun ubi kayu, daun kunyit, bunga kantan,halia, lengkuas, serai dan lain lain lagi.

Apa yang menarik ialah cara memasaknya begitu mudah -- tidak memerlukan minyak masak atau air.

Bahan asas yang telah disediakan dan telah dicuci bersih itu akan digaul sebati bersama ayam yang telah dipotong kecil tadi dan dimasukkan ke dalam buluh yang telah dibersihkan akan mengeluarkan jus atau air semasa proses pembakaran untuk memasak ‘manok pansuh’ berkenaan.

Permukaan buluh yang telah diisi tadi perlulah ditutup dengan daun ubi kayu yang telah dicuci bersih.

Proses memasak ‘manok pansuh’ ini sama seperti memasak lemang yang dibakar mengunakan kayu api dan bara api dan dibiarkan di antara 20 hingga ke 30 minit mengikut kepadatan isi ayam yang dimasukkan ke dalam buluh tadi.

Makanan yang dimasak di dalam buluh ini mempunyai aroma wanginya yang tersendiri berbanding dimasak mengunakan periuk.


Manok pansuh

Berbilang etnik serta agama

Sejenis lagi hidangan popular sempena sambutan ini turut disiapkan secara halal memandangkan perayaan itu bakal diraikan oleh ahli keluarga dan masyarakat yang berbilang etnik serta agama.

Hidangan itik masak kicap adalah juadah yang lazimnya akan disediakan bagi menyambut ahli keluarga yang meneruskan tradisi pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan itu.

Rabe Anak Sabong, 66, dari Kampung Bunuk, Padawan di sini berkata, menu itu adalah antara juadah yang akan menjadi permintaan utama ahli keluarga sekiranya mereka datang menziarah atau ngabang, dalam bahasa Iban atau Bidayuh.

Menurutnya, kesemua menu masakan yang dimasak oleh mereka adalah menu halal yang boleh dimakan oleh ahli keluarga dan orang ramai memandangkan kebanyakan ahli keluarganya ramai yang beragama Islam dan itik-itik berkenaan akan disembelih oleh orang Islam sendiri yang ada di kampung mereka.


Beliau turut memaklumkan ramai ahli keluarganya yang telah memeluk agama Islam namun sentiasa sama sama meraikan sambutan Gawai bersama sama namun mempunyai batasan tertentu.

Selain masakan itu, isteri Rabe, Dasah Abak Bedik, 63, turut menyediakan pelbagai lagi menu lain yang menjadi kesukaan ahli keluarga dan tetamu.

Biarpun mempunyai pegangan agama yang berlainan iaitu Kristian dan Islam, ia tidak menjadi halangan untuk meraikan sambutan Hari Gawai dengan meriah.

Rabe berkata, ahli keluarga mereka dari pelbagai kawasan akan datang menziarah pada sebelah petang sehingga keesokan harinya kerana pada waktu malam, pelbagai aktiviti dan persembahan dianjurkan untuk hiburan ramai.

Berikut ialah video acara sambutan Hari Gawai di Kuching, Sarawak.