Bekas suami seorang pelakon bersama seorang rakannya yang direman empat hari bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meminta suapan sebanyak RM1 juta, dibebaskan hari ini.

Majistret Muhammad Bukhori Md Raslan membenarkan dua individu itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin masing-masing selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meminta lanjutan reman.

Suspek yang tidak bekerja berumur 37 dan 38 tahun direman empat hari bermula Khamis bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mereka ditahan pada 5.30 petang dan 10.00 malam Rabu di sebuah hotel di ibu negara ketika proses rundingan dan penyerahan bayaran tersebut berlangsung.

Menurut jurucakap SPRM, bekas suami pelakon berumur 38 tahun yang bertindak selaku perantara mendekati mangsa yang juga seorang ahli politik bergelar Datuk bagi menawarkan bantuan menyelesaikan kes rasuah yang didakwa melibatkan individu itu.

Katanya modus operandi lelaki tersebut ialah mengaku mengenali pegawai SPRM yang boleh membawanya berjumpa "pegawai tinggi" suruhanjaya itu dan membantu menyelesaikan kes.

Difahamkan, kedua-dua suspek juga dikatakan turut menggunakan surat rasmi kerajaan yang diperoleh daripada internet bagi meyakinkan mangsa.

Semakan SPRM bagaimanapun mendapati mangsa tidak mempunyai rekod sedang disiasat suruhanjaya itu seperti didakwa suspek.

Sumber berkata mangsa yang curiga mengenai perkara itu membuat laporan kepada SPRM dan berpakat bagi menangkap kedua-dua lelaki tersebut.

"Susulan itu, satu pertemuan diatur antara suspek dan mangsa di sebuah hotel sebelum kami menyerbu dan menahan mereka," katanya.

Beliau berkata sebanyak RM50,000 yang dibayar sebagai wang pendahuluan oleh mangsa turut dirampas selain 2 telefon bimbit serta serta beberapa dokumen berkaitan milik suspek.

-- BERNAMA