MENYEDIHKAN! Itulah realiti 100 penduduk di Jalan Penchala Hilir, Kampung Sungai Penchala yang kehidupan mereka terus dibelenggu masalah banjir setiap kali hujan lebat sejak enam tahun lalu.

Walaupun banyak aduan dan laporan dibuat kepada pihak bertanggungjawab, namun penyelesaian masalah terus kelam, tiada berkesudahan.

Seorang penduduk, Munaliza Kasani, 42 tahun, situasi banjir di kawasan itu sememangnya telah lama berlaku namun keadaan tersebut dilihat semakin teruk sejak kebelakangan ini apabila terdapat banyak projek-projek pembangunan tumbuh bagai cendawan di kawasan berhampiran.

“Banjir di kawasan ini semakin teruk apabila air yang turun dari kawasan bukit sekitar Jalan Cahaya memasuki ke Sungai Penchala di sini bersama lumpur serta pasir.

“Keadaan ini telah menyebabkan sungai menjadi semakin cetek sehingga tidak dapat menampung jumlah air khususnya sewaktu hujan lebat,” katanya.

Munaliza berkata, selain daripada rumah penduduk, surau di kawasan kampung berkenaan turut terjejas berikutan dimasuki air pada setiap kali hujan lebat .

Katanya, keadaan itu telah menyebabkan kerosakan pada karpet serta beberapa kemudahan lain yang terdapat di surau tersebut.

“Permasalahan ini bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk malah kawasan surau serta kemudahan yang ada di sana juga sering terjejas berikutan daripada isu yang tidak selesai ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Rafi Mohd Ghazali, 5 tahun, selain sungai menjadi cetek, projek pembangunan di kawasan berhampiran juga telah menyebabkan sistem saliran di longkang dan parit terganggu berikutan daripada selut serta pasir yang dibawa air sewaktu hujan.

Mohd Rafi berkata, penduduk di kawasan itu tidak membantah sebarang projek pembangunan namun pihak bertanggungjawab perlu memastikan pelaksanaannya tidak mengundang masalah buat masyarakat setempat.

“Rumah yang rendah lebih berisiko untuk dinaiki air khususnya sewaktu hujan lebat dan jika sistem saliran serta sungai di sini tidak terganggu, saya pasti penduduk tidak begitu terjejas dengan masalah ini,” katanya.

Selain itu, Mohd Rafi berkata pihak berwajib seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan lain-lain pernah turun ke kawasan berkenaan sebelum ini namun permasalahan itu dilihat masih berterusan tanpa sebarang tindakan selanjutnya.

Katanya, penduduk juga terpaksa berdepan dengan kerugian setiap kali rumah mereka dinaiki air berikutan daripada kerosakan perabot dan barangan rumah.

“Kebiasaannya, air akan mula naik apabila hujan lebat berterusan selama satu jam malah lebih menyedihkan terdapat warga emas yang terpaksa bertungkus-lumus untuk menyelamatkan barang-barang rumah mereka bagi menggelakkan kerosakan,” katanya.

Sehubungan itu, seorang warga emas, Mohd Agus Omar, 77 tahun, berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil inisiatif bagi menyelesaikan permasalahan itu yang telah lama membelenggu penduduk di kawasan ini.

Mohd Agus berkata, dia terpaksa membina tembok di pintu masuk rumahnya bagi menggelakkan air memasuki ke dalam kediamannya itu khususnya sewaktu hujan lebat.

“Kami telah letih menunggu tindakan diambil sehinggakan saya membina sendiri tembok ini di pintu masuk. Namun ia tetap tidak menyelesaikan permasalahan ini kerana air akan turut memasuki kawasan kediaman melalui lubang tandas,” katanya.

Tambah Agus, dia berharap agar perkara ini mendapat perhatian daripada semua pihak bagi memastikan penduduk di kawasan tersebut tidak lagi terbeban khususnya sewaktu hujan lebat.