'Tertanya-tanya, terkejut...'.

Itulah perasaan yang digambarkan oleh Leolerry Lagius, 26 apabila nombor telefon peribadinya dimasukkan dalam WhatsApp Group politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Leo yang bekerja sebagai wartawan akan menunaikan tanggungjawabnya pada PRU14 ini berkata sentimen
terpengaruh dengan kempen parti-parti yang bertanding menerusi aplikasi itu bergantung kepada pengguna telefon pintar itu sendiri.

"Bagi saya, itu semua bergantung kepada tahap pendirian individu itu sendiri. Jika seseorang itu mempunyai pendirian menyokong sesuatu parti, dia akan terus menyokong dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang dihujani menerusi WhatsApp Group politik itu," katanya.

Wartawan, Leolerry Lagius, 26 tahun.
Jelas Leo, alternatif yang digunakan ini adalah bergantung kepada individu itu sendiri sama ada mahu keluar atau kekal dalam WhatsApp Group tersebut.

Turut senada, Muhammad Azrey Amir, 23 tahun berkata platform yang digunakan penyokong parti politik dalam mempengaruhi minda pengundi adalah bergantung kepada pemikiran pengundi itu sendiri.

Jelasnya, apa yang lebih penting adalah masyarakat tahu untuk menilai sendiri kebaikan yang akan dibawa oleh sesuatu parti mahupun calon.

"Kerajaan atau pembangkang, masing-masing mempunyai sokongan dan hala tujunya sendiri.

"Tapi kita sebagai rakyat, kita kena bijak menilai mana-mana parti yang boleh membangunkan Sabah dan bukannya termakan dengan janji kosong," katanya.

Muhammad Azrey Amir, 23 tahun.

Turut terjebak dalam WhatsApp Group politik ialah, Marious Bongkuloh, 54 tahun apabila nombor peribadinya turut dimasukkan dalam WhatsApp Group itu.

"Dia boleh mempengaruhi sentimen pengundi tetapi semua itu bergantung kepada tahap mentaliti seseorang.

"Dalam kalangan ahli WhatsApp Group ini, mereka akan membuat keputusan sendiri berdasarkan kepercayaan yang dibangkitkan di dalam aplikasi itu," katanya.

Marious Bongkuloh, 54 tahun

Sementara itu, 'admin' WhatsApp Group politik, yang hanya mahu dikenali sebagai Fida berkata tujuan utama mewujudkan 'group' tersebut semasa PRU14 adalah untuk meraih perhatian para pengundi dalam golongan belia di negeri ini.

Jelasnya, WhatsApp merupakan medium yang sangat mudah untuk menyebarkan maklumat-maklumat terkini berkaitan parti selain memudahkan para penyokong untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

"Bagi saya, platform ini adalah yang terbaik kerana ini merupakan salah satu sumber data yang senang diperolehi.

"Selain itu, medium ini juga sering digunakan dalam kehidupan seharian kita serta jimat masa dan kos semasa berkempen," katanya.