Seorang pelancong warga China dijatuhi hukuman denda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan merokok di dalam tandas pesawat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 16 Januari lalu.

Tertuduh Li Jin Ming, 41 tahun dari Wilayah Yunnan itu, membuat pengakuan berkenaan selepas memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ferhansya Farene Mohd Ferdaus.

Mengikut pertuduhan, Li didapati merokok di dalam tandas D, dalam pesawat tambang rendah yang dalam penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau sekitar jam 1.01 petang.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 100 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 206 (2)(a) peraturan yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga diperintah menjalani penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya, Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas alasan tindakannya boleh membahayakan keselamatan penumpang lain di dalam pesawat selain sebagai pengajaran serta menjaga kepentingan awam.

Tertuduh yang diwakili peguam Liew Hon Min bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbang hukuman ringan berikutan ini tertuduh tidak memahami arahan larangan merokok di dalam pesawat yang diumumkan dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.