UNICEF Malaysia menafikan terdapat satu mesej yang dikeluarkan oleh organisasi itu berhubung langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 seperti tersebar melalui aplikasi Whatsapp.

Menerusi akaun rasmi Facebook, organisasi itu memaklumkan bahawa tidak mengeluarkan sebarang mesej berunsurkan nasihat dan tip pencegahan wabak itu seperti yang didakwa dalam mesej palsu itu.


“UNICEF tidak mengeluarkan sebarang mesej dengan nasihat atau tip untuk mencegah koronavirus melalui Whatsapp di Malaysia,” tulis UNICEF Malaysia melalui hantaran dimuat naik pada Khamis.

Dalam pada itu, UNICEF turut mengingatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dengan maklumat-maklumat yang diterima di media sosial terutama melibatkan organisasi itu.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat yang sahih mengenai COVID-19 menerusi laman web rasmi UNICEF di unicef.org.