Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

MESTECC lancar pelan tindakan penguatkuasaan pengimportan sisa plastik

MESTECC lancar pelan tindakan penguatkuasaan pengimportan sisa plastik
MESTECC melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik (HS 3915) untuk menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di kawasan lapangan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik (HS 3915) untuk menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di kawasan lapangan oleh agensi-agensi berkaitan.

MESTECC dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan selain itu, Garis Panduan bagi Pengimportan Sekerap Logam bagi mengawal kemasukan sekerap logam yang tercemar, tidak homogen dan berkualiti rendah turut dilancarkan untuk memberi panduan berhubung kriteria pengimportan bahan sekerap logam kepada pengimport.
Pengukuhan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan alam sekitar di seluruh negara telah dibincangkan semasa mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab ke atas Alam Sekitar (MEXCOE), jelasnya.

Ia bertujuan memperkasa penguatkuasaan dengan menggunapakai konsep 'Penguatkuasaan Pintar', 'Pengurusan Data Pintar' dan 'Analisis Data Raya' bersama Kerajaan Negeri dalam mengambil tindakan terhadap punca-punca pencemar.
Menerusi mesyuarat MEXCOE yang dipengerusikan oleh menterinya, Yeo Bee Yin, kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar akan terus meningkatkan penguatkuasaan dengan sasaran sebanyak 30,000 tindakan seperti perintah larangan, penahanan operasi, kompaun dan tindakan mahkamah bagi tahun ini.

Sepanjang tahun lepas, sebanyak 18,314 tindakan penguatkuasaan telah dicapai berbanding hanya 7,194 pada 2018.

Mesyuarat MEXCOE merupakan forum menggalakkan kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pengurusan isu-isu alam sekitar yang berfungsi menyelaraskan pelaksanaan dasar pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang melibatkan kedua-dua pihak.

Selain itu, ia turut membincangkan isu-isu berhubung penyelarasan program dan aktiviti berkenaan dengan pengurusan alam sekitar dan sumber asli, serta mengenal pasti cara-cara memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

-- BERNAMA