Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah menerima empat cadangan berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia dan mesyuarat mengenainya akan diadakan pada 21 Jun ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata Kerajaan tetap mengulangi komitmen bagi menzahirkan penubuhan Majlis Media Malaysia pada penghujung tahun ini.

“Kita sudah dapat empat cadangan secara bertulis. Saya sudah lihat dan baca. Kita minta semua pihak yang memberi cadangan untuk mesyuarat pada Jumaat depan supaya kita boleh berbincang apa cadangan (akhir) untuk dibawa dan keputusan boleh dibuat.

“Kemudian kita boleh tetapkan satu jangka masa untuk tentukan penubuhan Majlis Media. Pada hari itu saya akan adakan sidang akhbar untuk maklumkan keputusan yang dicapai,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Selangor, berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Aidilfitri DAP Selangor bersama pengamal media di sini, malam Khamis.