Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meluluskan RM50 juta bagi menangani masalah banjir bagi fasa pertama di daerah Kota Belud.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, jumlah itu adalah sebahagian daripada RM140 juta yang diperlukan bagi menangani masalah banjir daerah itu.

"Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah meluluskan RM50 juta khusus untuk Kota Belud.

"Ia dilulus berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran JPS Sabah," jelasnya selepas Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana daerah Kota Belud yang diadakan pagi tadi.

Tambah Abdul Rahman, yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, laporan JPS telah membentangkan tiga fasa bagi menangani masalah banjir daerah itu.

"Musibah yang melanda di daerah ini adalah yang terburuk pernah berlaku di Sabah.

"Dan kerajaan akan meluluskan RM90 juta lagi yang diharap dapat membantu menyelesaikan baki dua fasa yang dibentangkan JPS," tegasnya.

Menurutnya peruntukan terbabit akan merangkumi projek pengorekan pasir dan pengambilan batu di Sungai Gurong-gurong iaitu sungai utama di daerah itu.

"Susulan bencana gempa bumi pada 2014 lalu, Sungai Gurong-gurong telah menjadi cetek.

"Ini kerana batu-batu telah memenuhi sungai dan menyumbang kepada banjir besar yang berlaku.

"Justeru saya yakin dengan peruntukan dan perancangan sedia ada akan menyelesaikan sepenuhnya isu banjir di sini," jelasnya lagi.
Selain pemimpin masyarakat setempat, mesyuarat turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.