Mesyuarat Tiga Pihak peringkat Menteri antara Malaysia, Australia dan China untuk mengkaji usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 akan diadakan di sini pada Khamis.

Mesyuarat itu bakal dihadiri Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss dan Menteri Pengangkutan China Yang Chuantang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mesyuarat itu diadakan agar ketiga-tiga negara dapat meneliti status dan usaha yang sedang dijalankan di kawasan pencarian MH370 setakat ini.

Selain itu, ia juga bagi mencapai keputusan secara kolektif untuk langkah yang akan diambil seterusnya berdasarkan nasihat dan taklimat daripada pakar kumpulan kerja strategi pencarian (SSWG).

“Pasukan SSWG yang dipimpin oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) terdiri daripada pakar-pakar dari pelbagai badan dan agensi antarabangsa, termasuk Badan Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat, Boeing, Thales United Kingdom, Jabatan Penerbangan Awam China, Jabatan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom serta Jabatan Penerbangan Awam Malaysia telah bekerjasama untuk menganalisis semua data dan maklumat yang diperoleh secara bebas dan telus.

“Hasil analisis tersebut, kesemua maklumat yang dikumpul menunjukkan dengan jelas bahawa kawasan pencarian terletak di lengkuk ketujuh di selatan Lautan India.

"Harus ditekankan di sini bahawa 'handshake' daripada data SATCOM yang telah dianalisis adalah khusus kepada pesawat MH370,” kata Liow.

Beliau menambah sehingga kini, misi pencarian meliputi kawasan seluas lebih 37,000 kilometer persegi atau 61 peratus dari kawasan pencarian utama.